
PUTRAJAYA: Sebuah syarikat penyedia perkhidmatan pembersihan rumah yang berdaftar di sekitar Lembah Klang diserbu kerana dipercayai menggaji pekerja asing serta mengambil dan menyimpan pasport milik pekerja terbabit.
Operasi yang dijalankan serentak bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan (NFCC), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) itu melibatkan beberapa lokasi yang dikenal pasti dan berjaya menahan seramai 31 warganegara Indonesia.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, mereka dipercayai bekerja sebagai pekerja pembersihan (cleaner) dan pengangkut (transporter) dan kesemua individu berkenaan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada dan bekerja di Malaysia.
“Pekerja berkenaan dipercayai menerima gaji minimum di bawah RM1,500, berdepan pemotongan gaji tanpa alasan yang munasabah, dikenakan denda serta penalti tanpa persetujuan, diarahkan bekerja lebih masa dan pergerakan mereka dikawal oleh pihak syarikat.
“Maklumat yang diperoleh turut mendapati bahawa syarikat berkenaan mempunyai rekod pekerja yang melarikan diri kerana tidak tahan dengan eksploitasi yang dipercayai dikenakan terhadap mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, pasukan operasi turut menahan tiga warganegara Malaysia, terdiri daripada seorang lelaki dan dua orang perempuan, yang merupakan pemilik syarikat berkenaan.
Hasil pemeriksaan lanjut di premis syarikat, katanya, pasukan operasi telah menemui dan menyita 20 naskhah pasport milik individu lain, wang tunai berjumlah RM9,400 serta beberapa set komputer yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti syarikat dan kini sedang diteliti bagi membantu siasatan.
Jelasnya, modus operandi syarikat berkenaan dipercayai melibatkan pengambilan dan perekrutan warga asing dari Indonesia dengan menawarkan peluang pekerjaan sebagai pekerja pembersihan serta menjanjikan bahawa kos berkaitan pengambilan dan perbelanjaan tertentu akan ditanggung oleh pihak syarikat.
“Melalui risikan dan siasatan kewangan yang dijalankan pihak JIM, beberapa akuan pemilik syarikat yang disyaki dikenal pasti telah menjalankan aktiviti haram.
“Sejumlah akaun milik individu dan syarikat telah dibekukan di bawah Seksyen 4(1) Kesalahan Penggubahan Wang Haram Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613,” katanya.
Selain itu, katanya, beberapa kesalahan lain turut dikesan dan tindakan telah diambil oleh agensi-agensi yang terlibat berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa masingmasing.
Katanya, kesemua individu yang ditahan telah ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen KLIA bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Pihak Jabatan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak atau individu yang terlibat dalam aktiviti yang melanggar undang-undang imigresen serta undang-undang berkaitan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), Akta Pasport 1966 (Akta 150), Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613),” katanya. – UTUSAN
The post Syarikat perkhidmatan pembersihan rumah diserbu, gaji pekerja asing tanpa pas sah appeared first on Utusan Malaysia.






