liza12/08/2026 - 17:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Ogos – Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) menjadi pelabuhan pertama di Malaysia yang menggunakan prime mover (pengangkut kontena) elektrik (e-PM) dalam operasi sebenar sebagai usahanya memperkukuh usaha mengurangkan pelepasan karbon dalam sektor pelabuhan negara.
Sebanyak 21 unit e-PM yang dibekalkan Terberg Tractors Malaysia (TTM) mula beroperasi pada 11 Ogos 2026 bagi menggerakkan kontena dalam kawasan terminal.
Penggunaan e-PM itu merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang PTP untuk meningkatkan kelestarian operasi, kecekapan pengendalian serta mengurangkan pergantungan kepada peralatan berkuasa bahan api konvensional.
Langkah itu susulan perjanjian pembelian antara PTP dan TTM pada Disember 2025 bagi membekalkan keseluruhan 52 unit e-PM. Baki 31 unit pula akan dihantar secara berperingkat sehingga akhir September 2026.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Loke Siew Fook berkata, penggunaan e-PM menjadikan PTP pelopor dalam elektrifikasi operasi pelabuhan di Malaysia, selain membuktikan keupayaan tenaga kerja dan industri pembuatan tempatan menghasilkan peralatan untuk operasi pelabuhan bertaraf dunia.

Pengurangan Pelepasan Dan Kos Operasi
Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman pula berkata penggunaan e-PM bukan sahaja menyokong sasaran kelestarian syarikat, malah menjadi sebahagian penting daripada rancangan pengembangan jangka panjang PTP.
Menurut beliau, inisiatif itu akan meningkatkan kapasiti pengendalian PTP kepada 16.3 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) setahun menjelang 2029 bagi memenuhi pertumbuhan jumlah perdagangan serta keperluan pelanggan pada masa depan.
Beliau berkata, PTP sebelum ini menjalankan ujian konsep (Proof of Concept) antara 2023 hingga 2024 yang menunjukkan e-PM menghasilkan kira-kira 4,000 kilogram setara karbon dioksida (kgCO₂eq) sebulan berbanding 7,600 kgCO₂eq bagi unit konvensional.
Keputusan ujian itu menunjukkan penggunaan e-PM mampu mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 48% selain mengurangkan kos operasi bulanan bagi setiap unit sebanyak 57%.
PTP menyasarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 45% menjelang 2030 sebelum mencapai sasaran pelepasan bersih sifar (net-zero) pada 2050, dengan elektrifikasi peralatan menjadi antara langkah utama dalam mencapat matlamat itu.


Peralihan Kepada Operasi Lebih Hijau
Usaha elektrifikasi PTP bukan perkara baharu kerana syarikat itu sebelum ini telah menukar secara berperingkat kren gantri tayar getah (Rubber-Tyred Gantry Crane) kepada versi elektrik antara 2011 hingga 2023.
Kini, PTP mempunyai 245 unit kren gantri tayar getah elektrik (e-RTG) yang beroperasi, manakala penggunaan e-PM menjadi satu lagi langkah penting dalam peralihan kepada operasi pelabuhan yang menghasilkan pelepasan karbon lebih rendah.
Selain itu, PTP turut meneruskan pembangunan infrastruktur hijau serta kerjasama antarabangsa menerusi inisiatif GreenVoyage2050 oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), Australian Partnerships for Infrastructure (P4I) dan memorandum persefahaman (MoU) bersama Port of Melbourne berkaitan operasi pelabuhan mampan.
Ketua Pegawai Eksekutif TTM, Boo Wei Ching berkata, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan PTP dalam usaha kelestarian itu, selain menegaskan keupayaan kejuruteraan dan pembuatan Malaysia dalam menyokong operasi pelabuhan bertaraf dunia.
Dengan 21 unit pertama kini beroperasi, baki 31 e-PM akan digunakan secara berperingkat sehingga akhir September 2026 bagi melengkapkan keseluruhan 52 unit di bawah program perolehan PTP bersama TTM, sekali gus menggabungkan kecekapan operasi, inovasi dan kelestarian untuk menyokong pertumbuhan pelabuhan pada masa depan. - DagangNews.com






