hamden07/10/2026 - 14:51 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Okt - PJBumi Berhad memaklumkan Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia) telah meluluskan cadangan pemecahan saham syarikat, yang dijangka mampu meningkatkan kecairan dagangan serta meluaskan asas pelaburnya menerusi pengurangan harga dagangan saham.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, PJBumi berkata kelulusan itu diberikan menerusi surat Bursa Malaysia bertarikh 6 Oktober 2026.
Menurut PJBumi, kelulusan tersebut tertakluk kepada beberapa syarat, antaranya syarikat perlu mematuhi sepenuhnya peruntukan berkaitan di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (Main LR) berhubung pelaksanaan cadangan pemecahan saham.
PJBumi juga dikehendaki memaklumkan kepada Bursa Securities selepas cadangan pemecahan saham itu selesai dilaksanakan.
Selain itu, syarikat perlu mengemukakan salinan benar yang diperakui bagi resolusi yang diluluskan pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang meluluskan cadangan berkenaan, sebelum saham yang dipecahkan disenaraikan dan disebut harga.
PJBumi turut perlu mengemukakan pengesahan bertulis kepada Bursa Securities mengenai pematuhan terhadap terma dan syarat kelulusan Bursa Securities selepas cadangan pemecahan saham selesai dilaksanakan.
Syarikat juga perlu membuat pengumuman berkaitan selaras dengan Perenggan 6.35(2)(a) dan (b) serta Perenggan 6.35(4) Main LR.
Pada 26 Jun 2026, PJBumi mencadangkan pemecahan saham satu untuk lima bagi meningkatkan kecairan dagangan serta meluaskan asas pelaburnya menerusi pengurangan harga dagangan saham.
Di bawah cadangan itu, setiap saham biasa sedia ada akan dipecahkan kepada lima saham, sekali gus meningkatkan jumlah modal saham terbitan firma kejuruteraan berkenaan kepada 410 juta saham daripada 82 juta saham. - DagangNews.com






