
KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan RM218.5 bilion pelaburan diluluskan bagi separuh pertama 2026, meningkat 11.7 peratus berbanding RM195.5 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), jumlah itu melibatkan 2,746 projek dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama yang dijangka mewujudkan sebanyak 99,030 peluang pekerjaan.
Jumlah pekerjaan berkenaan turut menunjukkan peningkatan 8.4 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
MIDA berkata, nilai pelaburan yang diluluskan bagi enam bulan pertama tahun ini bersamaan 50.7 peratus daripada keseluruhan RM431.1 bilion pelaburan diluluskan sepanjang 2025.
Prestasi itu disifatkan memberangsangkan dalam keadaan ekonomi global yang semakin mencabar, dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menerusi Tinjauan Ekonomi Dunia Julai 2026 mengunjurkan pertumbuhan dunia sebanyak tiga peratus tahun ini.
Ekonomi Malaysia pula dijangka berkembang 4.7 peratus, sekali gus mengatasi purata pertumbuhan global dan serantau.
Daripada keseluruhan pelaburan diluluskan, pelaburan asing (FI) menyumbang RM126.9 bilion atau 58.1 peratus, meningkat 18.5 peratus tahun ke tahun.
Pelaburan domestik (DI) pula berjumlah RM91.6 bilion atau 41.9 peratus daripada keseluruhan pelaburan, meningkat 3.5 peratus.
Amerika Syarikat muncul sebagai sumber FI terbesar dengan nilai RM33.1 bilion, diikuti Singapura sebanyak RM25.9 bilion, Jepun RM22.3 bilion, China RM16.5 bilion dan Kepulauan Cayman RM4.1 bilion.
Kelima-lima sumber berkenaan secara keseluruhannya menyumbang lebih 80 peratus daripada jumlah pelaburan asing yang diluluskan.
Dari segi negeri, Selangor mencatat nilai pelaburan diluluskan tertinggi sebanyak RM70 bilion menerusi 835 projek.
Prestasi Selangor didorong pelaburan dalam sektor digital termasuk kecerdasan buatan (AI), analitik data raya, keselamatan siber, teknologi kewangan, pengkomputeran awan serta Internet Pelbagai Benda (IoT).
Johor berada di kedudukan kedua dengan RM59.4 bilion, disokong pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) serta projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link.
Kuala Lumpur pula merekodkan RM26.6 bilion pelaburan diluluskan, diikuti Pulau Pinang sebanyak RM20.2 bilion yang diterajui sektor pembuatan termaju dan semikonduktor.
Sarawak mencatatkan RM10.8 bilion pelaburan, terutama menerusi projek penerokaan minyak dan gas luar pesisir.
Sementara itu, sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar dengan RM149.6 bilion pelaburan diluluskan, meningkat 21 peratus tahun ke tahun.
Sebanyak 1,750 projek diluluskan dalam sektor itu dan dijangka mewujudkan 34,475 peluang pekerjaan.
Pelaburan asing dalam sektor perkhidmatan melonjak 66.7 peratus kepada RM86.9 bilion, manakala pelaburan domestik berjumlah RM62.7 bilion.
Subsektor maklumat dan komunikasi menjadi pemacu utama apabila nilai pelaburan diluluskan meningkat 68.2 peratus kepada RM103.3 bilion.
Daripada jumlah itu, projek pusat data dan pengkomputeran awan menyumbang RM95.8 bilion atau hampir 44 peratus daripada keseluruhan pelaburan diluluskan negara.
MIDA berkata, pertumbuhan itu didorong permintaan serantau yang semakin meningkat terhadap kapasiti pengkomputeran AI.
Dalam sektor pembuatan pula, lima industri terbesar menyumbang 76.9 peratus daripada keseluruhan pelaburan diluluskan.
Industri mesin dan peralatan serta pembuatan makanan masing-masing merekodkan peningkatan 44.8 peratus dan 40.9 peratus.
Sebanyak 302 projek pembuatan turut merancang mengeksport sekurang-kurangnya 80 peratus daripada pengeluaran masing-masing, meningkat 57.3 peratus tahun ke tahun.
Industri elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan, produk logam direka, produk plastik, peralatan pengangkutan serta pembuatan makanan menyumbang 70.9 peratus daripada keseluruhan projek berorientasikan eksport berkenaan.
Pengerusi MIDA, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, prestasi pelaburan negara terus disokong sektor perkhidmatan dan pembuatan, selain keyakinan pelabur terhadap pembaharuan struktur yang dilaksanakan Malaysia.
Menurutnya, Malaysia kini berada di kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi dalam Ranking Daya Saing Dunia IMD 2026, pencapaian terbaik negara dalam tempoh lebih sedekad.
Beliau berkata, berpandukan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, MIDA akan terus memberi keutamaan kepada pelaburan yang melibatkan pemindahan teknologi, memperkukuh penglibatan vendor tempatan serta mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat.
Dalam pada itu, sehingga 10 Ogos 2026, MIDA sedang menilai 227 cadangan pelaburan bernilai RM72.1 bilion.
Sebanyak RM58.4 bilion lagi dalam bentuk potensi pelaburan bernilai tinggi turut berada dalam peringkat perbincangan.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, mendapatkan komitmen pelaburan hanya sebahagian daripada proses, manakala memastikan projek benar-benar dilaksanakan dan mewujudkan pekerjaan merupakan keutamaan utama MIDA.
Katanya, sebanyak 86.3 peratus projek pembuatan yang diluluskan sejak 2021 kini sudah memasuki fasa pelaksanaan.
Menerusi Pusat Pemudahcaraan Invest Malaysia serta penyelarasan antara kementerian dan agensi, MIDA akan terus membantu pelabur mengatasi halangan kawal selia dan pelaksanaan, selain memperkukuh penyertaan perusahaan kecil dan sederhana serta vendor tempatan melalui inisiatif #InvestLokal.
The post Pelaburan cecah RM218.5 bilion diluluskan, hampir 100,000 peluang kerja bakal diwujudkan appeared first on MYBERITA.





