liza24/08/2026 - 12:30 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Ogos – Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai tarikan pelaburan serantau apabila nilai pelaburan langsung asing (FDI) yang diterima sejak penubuhannya mencecah RM126.9 bilion.
Perkembangan itu turut membuka ruang lebih besar kepada syarikat Singapura untuk menjadikan Johor sebagai hab pengeluaran dan pengembangan perniagaan khususnya bagi sektor pembuatan yang mahu meningkatkan skala operasi.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata tumpuan selepas ini adalah memastikan momentum pelaburan berkenaan diteruskan menerusi pelaksanaan pelan induk JS-SEZ yang bakal mengutamakan proses kelulusan pelaburan lebih pantas serta pergerakan barangan dan manusia yang lebih lancar.
Pada masa sama, zon berkenaan akan memberi keutamaan kepada industri bernilai tinggi yang mampu mewujudkan lebih banyak pekerjaan serta memberi manfaat ekonomi kepada Johor dan Singapura.
Kerajaan negeri juga melihat JS-SEZ sebagai satu platform yang berpotensi menjadi pintu masuk kepada pelabur yang mahu mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran ASEAN.
Maybank-SMF Perkukuh Hubungan Perniagaan
Usaha menarik lebih banyak syarikat ke JS-SEZ turut mendapat sokongan sektor kewangan apabila Maybank dan Persekutuan Pengilang Singapura (SMF) memeterai memorandum persefahaman (MOU) bagi membantu syarikat pengilang meneroka peluang memperluaskan operasi mereka di zon tersebut.
Kerjasama itu memberi tumpuan kepada rangkaian syarikat pengilang serta rakan vendor SMF, termasuk syarikat tempatan dan multinasional, dengan Maybank menyediakan akses kepada rangkaian perbankan dan keupayaan kewangannya di rantau ASEAN.
Menerusi jaringan Maybank di 10 negara ASEAN, lebih 5,000 ahli SMF berpeluang mendapatkan akses kepada perkongsian pengetahuan, hubungan perniagaan serta program pembangunan keupayaan bagi menyokong rancangan pengembangan mereka.
Skop sokongan itu turut merangkumi pembiayaan mampan, pengurusan tunai, pembayaran, pembiayaan perdagangan, pembiayaan rantaian bekalan dan pembiayaan rentas sempadan.
Maybank berkata, setakat ini pihaknya telah memudah cara kira-kira RM22 bilion pembiayaan dan minat pelaburan berkaitan JS-SEZ, meliputi sektor seperti infrastruktur digital, pembuatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Johor Jadi Pilihan Syarikat Singapura
Sementara itu Presiden SMF, Lennon Tan berkata sektor pembuatan menyumbang lebih 17% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Singapura dan menyediakan hampir 500,000 pekerjaan.
Menurutnya, syarikat Singapura perlu melihat peluang di luar pasaran domestik bagi meneruskan pertumbuhan dengan JS-SEZ menyediakan pilihan untuk mereka membahagikan operasi antara kedua-dua negara.
Pendekatan itu, yang dikenali sebagai model “twinning”, membolehkan syarikat mengekalkan ibu pejabat di Singapura dan menempatkan operasi pengeluaran di Johor bagi memanfaatkan ekosistem sumber di Malaysia.
SMF berkata lebih 700 syarikat telah dikenal pasti berminat untuk membuka atau mengembangkan operasi di JS-SEZ dengan permintaan terhadap peluang berkenaan terus meningkat.
Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Singapore, Alvin Lee pula berkata perkembangan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) di peringkat global turut memberi ruang kepada sektor pembuatan Singapura untuk berkembang, selain membuka peluang baharu kepada syarikat di kedua-dua negara.
Beliau berkata kedudukan Johor yang berdekatan dengan Singapura, hubungan ekonomi yang kukuh antara kedua-dua negara serta kestabilan politik dan ekonomi menjadikan JS-SEZ lokasi menarik bagi syarikat Singapura yang mahu mengembangkan operasi.
Kerjasama Maybank dan SMF itu turut menyokong strategi ROAR30 Maybank, termasuk sasaran menyalurkan RM300 bilion kepada pembiayaan mampan serta masing-masing RM100 bilion kepada sektor ekonomi baharu dan PKS di ASEAN. - DagangNews.com






