Pelaburan lampu solar ISLED perlu tepati standard

LocalTechnology
10 Aug 2026 • 5:07 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pelaburan lampu solar ISLED perlu tepati standard

PETALING JAYA – Kerajaan memantau kualiti dan pematuhan standard lampu jalan jenis solar bersepadu diod pemancar cahaya (ISLED) yang akan digunakan di 362 lokasi terpilih di Jalan Persekutuan seluruh negara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Jabatan Kerja Raya telah mengeluarkan Garis Panduan Penggunaan Lampu Jalan Jenis ISLED bagi projek kerajaan untuk memastikan produk berkualiti dan mematuhi standard, termasuk keperluan jaminan lima tahun.

“Baru-baru ini di Dewan Negara, saya memaklumkan bahawa RM 34.19 juta diperuntukkan pada tahun 2026 bagi pemasangan lampu jalan LED berkuasa solar di 362 lokasi terpilih di Jalan Persekutuan seluruh negara.

“Pada masa sama, menerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Program Pantau Madani 2026, kerajaan turut melaksanakan pemasangan 3,000 tiang lampu solar LED di 32 lokasi berisiko tinggi dan kerap berlaku kemalangan di rangkaian lebuh raya, melibatkan peruntukan fasa awal RM25.2 juta, dengan sasaran siap menjelang penghujung November tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, satu lawatan kerja ke kilang SBC Lighting Sdn. Bhd. di Klang diadakan pagi tadi bagi melihat sendiri proses pengeluaran, keupayaan industri tempatan serta aspek kualiti dan pematuhan standard lampu jalan jenis ISLED.

“Lawatan ini merupakan susulan kepada inisiatif kerajaan memperluas penggunaan lampu jalan solar secara bersasar, khususnya di lokasi yang memerlukan pencahayaan demi keselamatan pengguna jalan raya.

“Dua inisiatif berbeza, tetapi matlamatnya sama iaitu meningkatkan keselamatan dan kebolehlihatan pengguna di Jalan Persekutuan serta lebuh raya, khususnya pada waktu malam,” katanya.

Alexander berkata, kualiti tidak boleh dikompromi apabila melibatkan pelaburan kerajaan dengan nilai yang besar.

“Kita bukan sekadar mahu lebih banyak lampu dipasang, tetapi memastikan produk yang digunakan memenuhi spesifikasi teknikal, tahan lasak dan mampu beroperasi dengan baik untuk jangka panjang.

“Teknologi ini juga telah digunakan secara meluas. Sehingga Mei 2026, sebanyak 19,493 unit ISLED telah dipasang di Semenanjung Malaysia.

“Produk bagi projek kerajaan pula perlu melalui proses pendaftaran Senarai Bahan Elektrik Diluluskan Jabatan Kerja Raya sebagai sebahagian kawalan standard dan kualiti,” katanya.

Katanya, lampu solar untuk jalan raya juga tidak boleh disamakan dengan produk kegunaan persendirian di pasaran.

“Spesifikasinya perlu mengambil kira tahap pencahayaan, kekuatan struktur, kapasiti bateri, ketinggian tiang, ketahanan cuaca serta keselamatan pengguna.

“Penggunaannya juga akan terus dibuat secara bersasar berdasarkan kesesuaian teknikal, keberkesanan kos dan keperluan setempat, termasuk kawasan jauh daripada grid elektrik serta lokasi yang berdepan isu kecurian kabel dan vandalisme,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Pelaburan lampu solar ISLED perlu tepati standard appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved