
SEPANG: Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun ditemukan maut selepas dipercayai terjun dari tingkat 24 sebuah kondominium di X2 Residence, Jalan Putra Prima, Puchong dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu menerusi panggilan MERS 999 kira-kira pukul 5.50 petang.
Beliau berkata, sepasukan polis yang bergegas ke lokasi mendapati mangsa, seorang remaja lelaki tempatan berusia 16 tahun, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di atas jalan berhampiran Blok B kondominium berkenaan.
“Siasatan mendapati mangsa merupakan seorang pelajar sekolah menengah kebangsaan di Puchong.
“Pegawai perubatan Hospital Sultan Idris Shah Serdang yang hadir ke tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah Serdang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Norhizam berkata, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Sarveshwaaran Balakrishnan di talian 012-2612949.-UTUSAN
The post Pelajar 16 tahun maut jatuh dari tingkat 24 kondominium appeared first on Utusan Malaysia.






