Pelajar ditemui maut di sekolah disyaki dibunuh

4 Oct 2026 • 6:48 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelajar ditemui maut di sekolah disyaki dibunuh
Kenderaan polis memasuki kawasan sekolah susulan penemuan mayat pelajar perempuan Tingkatan Empat yang dipercayai dibunuh.
Image from: Pelajar ditemui maut di sekolah disyaki dibunuh
Mangsa ditemui sudah tidak bernyawa dalam dewan di sekolah terbabit pada sebelah petang.

BATU PAHAT - Seorang pelajar Tingkatan Empat ditemui maut dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng dekat sini pada Sabtu.

Menurut sumber, remaja berusia 16 tahun itu ditemui sudah tidak bernyawa dalam dewan di sekolah terbabit pada sebelah petang.

“Mangsa yang dipercayai tinggal dengan neneknya datang ke sekolah sebelah petang menghadiri kelas tuisyen.

“Berita kehilangan mangsa yang dikenali sebagai Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal disedari neneknya selepas rakan mangsa bertanyakan mangsa berada di rumah atau tidak pada tengah hari tadi,” katanya.

**media[3666910]**

Menurutnya, selepas menyedari mangsa tiada di rumah, neneknya bergegas ke sekolah dan menemui remaja berkenaan sudah terbaring dalam keadaan lemah.

“Mangsa ditemui terbaring lemah dengan kesan darah sudah kering, ada kesan lebam seperti kena pukul. Semasa jumpa mangsa masih sedar sebelum tidak sedarkan diri," katanya.

Sumber berkenaan berkata, mangsa merupakan anak yatim tinggal bersama neneknya di daerah ini selepas kematian ibunya sementara bapanya bekerja di Kuala Lumpur.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar maut di sekolah: Nenek lihat Fiya terkulai, berlumuran darah dalam dewan sekolah

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi memaklumkan kes masih dalam siasatan.

Dimaklumkan pihak Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) masih melakukan siasatan.

Dalam pada itu, orang ramai dilihat berkumpul di luar pagar bagi mengetahui perkembangan kejadian.

Beberapa kenderaan pasukan forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor juga kelihatan berada di dewan sekolah untuk melakukan siasatan.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved