Pelajar Tingkatan Lima disyaki belasah junior sampai masuk hospital direman dua hari

18 Aug 2026 • 8:21 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelajar Tingkatan Lima disyaki belasah junior sampai masuk hospital direman dua hari
Kejadian berlaku sekitar jam 10 pagi pada Jumaat ketika mangsa sedang membersihkan papan putih di dalam kelas.

ALOR GAJAH – Seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima di sebuah sekolah menengah di Pulau Sebang di sini direman dua hari selepas disyaki membelasah pelajar Tingkatan Empat hingga dimasukkan ke wad dalam kejadian Jumaat lalu.

Perintah reman terhadap suspek berusia 17 tahun itu dibenarkan Mahkamah Majistret Alor Gajah sehingga 19 Ogos ini.

Dalam kejadian itu, suspek dikatakan bertindak agresif dengan menumbuk mangsa bertubi-tubi selain menendangnya beberapa kali sehingga terkena muka, kepala, perut dan kemaluan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian berlaku sekitar jam 10 pagi ketika mangsa sedang membersihkan papan putih di dalam kelas sebelum didatangi suspek.

Menurutnya, siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham antara suspek dan mangsa selepas mangsa dikatakan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suspek menerusi aplikasi WhatsApp.

“Suspek kemudian dikatakan meluahkan rasa tidak puas hati kepada mangsa sebelum melakukan kekasaran tersebut.

“Mangsa kemudian menceritakan kejadian itu kepada bapanya sebelum dibawa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Simpang Ampat, tetapi dirujuk ke Hospital Melaka dan ditahan di wad selama sehari untuk pemeriksaan lanjut,” katanya pada Selasa.

Katanya, bapa mangsa kemudian membuat laporan polis yang membawa kepada penahanan reman suspek selama dua hari.

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan kerana memukul sehingga mendatangkan kecederaan dan melakukan ugutan jenayah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved