Pelajar direman disyaki belasah, ugut junior jadi budak suruhan

18 Aug 2026 • 8:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pelajar direman disyaki belasah, ugut junior jadi budak suruhan

ALOR GAJAH – Seorang pelajar tingkatan lima direman dua hari selepas disyaki memukul pelajar junior sehingga cedera dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Pulau Sebang, di sini, Jumaat lalu.

Perintah reman sehingga 19 Ogos itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Alor Gajah terhadap suspek berusia 17 tahun bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 10 pagi ketika mangsa sedang membersihkan papan putih di dalam kelas, manakala pelajar lain keluar berehat.

“Mangsa telah didatangi suspek yang meluahkan rasa tidak puas hati kerana mendakwa mangsa ada mengeluarkan kata-kata kesat terhadapnya menerusi aplikasi WhatsApp.

“Suspek kemudian bertindak menumbuk mangsa bertubi-tubi menggunakan tangan selain menendang beberapa kali sehingga terkena muka, kepala, perut dan kemaluan mangsa,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Menurutnya, mangsa yang ketakutan telah meminta maaf, namun suspek masih meneruskan tindakan sebelum beredar sambil memberi amaran akan memukulnya lagi.

“Tidak lama selepas itu, suspek memanggil mangsa yang ketika itu masih menahan sakit untuk menjadi budak suruhannya sekiranya mahu berdamai dan tidak mahu dipukul lagi.

“Pelajar senior itu kemudian memberikan wang kepada mangsa sebelum mengarahkannya membeli minuman dan mangsa yang ketakutan hanya menurut arahan tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, mangsa telah memaklumkan kejadian itu kepada pihak guru pada hari sama sebelum memberitahu bapanya selepas kesakitan dialami didakwa semakin serius termasuk pada saluran kencing.

Kata Ahmad, susulan itu bapa mangsa telah membuat laporan polis dan pelajar terbabit dibawa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Simpang Ampat sebelum dirujuk ke Hospital Melaka.- KOSMO! ONLINE

The post Pelajar direman disyaki belasah, ugut junior jadi budak suruhan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved