Transit Singapura sebelum hantar ‘bunga khayal’ ke London

9 Oct 2026 • 12:13 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Transit Singapura sebelum hantar ‘bunga khayal’ ke London

KUALA LUMPUR – Taktik sindiket penyeludupan dadah menggunakan laluan udara dari Ipoh, Perak dengan transit di Singapura sebelum menuju ke London terbongkar selepas seorang lelaki warga asing ditahan menerusi Op Tebuan, September lalu.

Lelaki tersebut merupakan antara tujuh suspek yang diberkas dalam tujuh serbuan di Perak, Selangor dan Kedah selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah antarabangsa yang dipercayai aktif sejak Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan pertama dilakukan di kawasan perkarangan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh pada 1 September lalu.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki warga asing dan merampas 50 bungkusan lutsinar berisi ketulan mampat disyaki bunga ganja seberat 26.2 kilogram (kg).

“Suspek dipercayai menggunakan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh sebagai laluan alternatif sebelum transit di Singapura dan meneruskan perjalanan ke London bagi menyeludup dadah ke luar negara.

“Kita percaya taktik ini digunakan bagi mengelak kawalan ketat di laluan udara utama, namun kegiatan sindiket berjaya dibongkar hasil risikan dan tindakan susulan yang dijalankan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Hussein berkata, siasatan lanjut membawa kepada enam lagi serbuan pada 30 September dan 4 Oktober lalu di Selangor serta Kedah, yang menyaksikan penahanan enam lelaki tempatan.

“Sindiket ini dipercayai mendapatkan bekalan dadah dari negara jiran di utara Semenanjung sebelum mengedarkannya di sekitar Lembah Klang untuk pasaran tempatan serta menggunakan khidmat keldai dadah bagi menyeludup bekalan ke luar negara.

“Beliau berkata, suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan gangsterisme dan sanggup melakukan apa sahaja untuk melepaskan diri,” ujarnya.

Beliau berkata, secara keseluruhan, polis merampas 210.32 kg syabu dan 95.45 kg bunga ganja dengan nilai anggaran RM18.16 juta.

Beliau menambah, kesemua suspek didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, masing-masing pada 8 September dan 8 Oktober lalu.

“Polis turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 membabitkan aset bernilai kira-kira RM118,000, termasuk dua buah kereta jenis Honda Civic FD dan Honda City serta lima kad bank,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

The post Transit Singapura sebelum hantar ‘bunga khayal’ ke London appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved