
KUALA LUMPUR - Kerajaan Negeri Selangor perlu mempertimbangkan semula pelantikan Ketua Umno bahagian Sepang, Datuk Noorazli Said sebagai penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil susulan kontroversi berkaitan paderi dan biarawati pada Perhimpunan Agung Umno 2026 lalu.
Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Selangor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Serdang, Abbas Azmi berkata, ini kerana jawatan itu adalah jawatan rasmi kerajaan negeri Selangor bagi menyampaikan misi dan visi kerajaan negeri.
Mereka yang tidak memahami keadaan di Selangor, katanya,tidak harus dilibatkan bersama dengan Kerajaan Negeri.
“Menteri Besar (Datuk Seri Amirudin Shari) dan semua pimpinan utama Kerajaan negeri harus memandang serius kenyataan Noorazli Said dan tindakan harus dilakukan segera bagi memastikan keharmonian dan perpaduan khususnya di dalam negeri Selangor dan Malaysia terus terpelihara.
“Jangan biarkan anasir begini mula bertapak didalam masyarakat kita apatah lagi kita akan menyambut sambutan hari Malaysia pada 16 September ini,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beberapa pihak sebelum ini mendesak Noorazli memohon maaf secara terbuka dan menyifatkan jenaka berunsur seksual membabitkan biarawati dan paderi Katolik sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima, tanpa mengira niat di sebaliknya.
Malah Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan sewajarnya jika terdapat sebarang pelanggaran undang-undang, termasuk di bawah Seksyen 298 dan Seksyen 298A Kanun Keseksaan [Akta 574] serta peruntukan berkaitan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Mengulas lanjut, Abbas berkata, kenyataan Noorazli itu adalah sesuatu yang tidak menepati ciri ciri kepimpinan negara.
“Harus diingat Malaysia ini adalah sebuah negara berbilang kaum bangsa dan agama. Islam sebagai agama Rasmi negara Malaysia dan agama yang lain bebas dianuti.
“Hormat menghormati antara satu sama lain adalah amalan sekian lama masyarakat di negara ini. Menjadikan ketua agama lain sebagai bahan ketika berbahas adalah sesuatu yang dangkal dan berlawanan dengan konsep beragama di dalam negara Malaysia,’’ katanya. - 15 September, 2026
The post Pelantikan Ketua Umno Sepang sebagai penyelaras DUN Dengkil perlu dipertimbang semula appeared first on Scoop.





