
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Pada Sabtu (19 September) lalu, kecoh di media sosial pengumuman oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengenai peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan.
Difahamkan, langkah itu diambil sebagai reaksi parti berkenaan terhadap keputusan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengumuman itu nyata mendapat perhatian ramai malah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 September memaklumkan dia sedang menunggu surat peletakan jawatan terbabit.
Anthony Loke Dah Hantar Surat Peletakan Jawatan Kepada Anwar
Terbaharu, Anthony mengesahkan dia telahpun menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan kepada Anwar semalam (28 September).
Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Seremban, surat peletakan jawatan itu hanya akan berkuat kuasa sekiranya Najib telah keluar dari penjara bagi menjalani baki hukuman perintah tahanan rumah.
Namun buat masa ini jelasnya, Anwar telah memintanya untuk terus bertugas sebagai Menteri Pengangkutan.
“Apabila Datuk Seri Najib balik rumah, maka peletakan jawatan saya akan berkuat kuasa.
“Peletakan jawatan ini adalah keputusan parti berdasarkan respons dan pendirian DAP terhadap isu tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak yang kita tidak bersetuju,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Surat Diserahkan Sendiri, Belum Ada Pengganti Yang Dilantik Bagi Jawatan Tersebut
Tambah Anthony lagi, surat peletakan jawatan terbabit diserahkan sendiri olehnya kepada Anwar dalam pertemuan mereka bagi membincangkan mengenai keputusan pengundurannya daripada Jemaah Menteri.
Jelas Anthony, buat masa ini, dia masih menjalankan tugas dan belum ada pengganti yang dilantik bagi jawatan terbabit.
Tegasnya, keputusan untuk berundur adalah kekal selaras dengan pendirian DAP.
Anggota DAP Dalam Kerajaan Kekal Buat Sementara Waktu
Anthony sebelum ini menjelaskan keputusan pelepasan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan dibuat selepas cadangan peletakan jawatan terbabit dibincangkan dalam mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada Sabtu (19 September) lalu.
Namun jelasnya, Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri daripada DAP termasuk mereka yang memegang jawatan lain dalam kerajaan akan kekal buat sementara waktu bagi memastikan kestabilan politik terus terjamin.
Anwar Hormati Keputusan Peletakan Jawatan Anthony Loke
Anwar sebelum ini juga didakwa telah menasihati Anthony agar mempertimbangkan semula keputusan terbabit dan akan mengadakan peretmuan bagi mendengar penjelasan lanjut berhubung perkara tersebut.
Jelas Anwar, DAP tidak seharusnya tunduk kepada tekanan pihak yang mempunyai kepentingan politik untuk menarik diri daripada kerajaan perpaduan hanya kerana mahu melihat pentadbiran menjadi tidak stabil.
Pun begitu jelas Anwar, dia menghormati keputusan Anthony dan DAP yang sejak sekian lama menentang kleptorasi dan rasuah sehingga membuatkan parti itu sukar untuk menerima keputusan Lembaga Pengampunan.
Sekadar info, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) pada 18 September lalu dalam satu kenyataan menjelaskan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib bagi menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Walau bagaimanapun, pengampunan tersebut adalah tertakluk sekiranya beliau membayar dengan RM50 juta dan memathui syarat-syarat yang ditetapkan.
Baca Artikel Berkaitan: Anthony Loke Umum Letak Jawatan Pengerusi DAP N9, Keputusan Kekal Dalam Kerajaan Perpaduan Atau Tidak Diputuskan 16 Ogos
Baca Artikel Berkaitan: Agong Perkenan Pengampunan Bersyarat Kepada Najib, Jalani Baki Hukuman Secara Tahanan Di Rumah






