
PETALING JAYA: Peletakan jawatan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden PKR tidak memberi impak besar terhadap pentadbiran Kerajaan Perpaduan kerana beliau tidak memegang sebarang jawatan eksekutif dalam kerajaan.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan Nurul Izzah itu perlu dihormati dan tidak wajar dipaksa untuk ditarik semula, meskipun perkembangan berkenaan sedikit sebanyak memberi kesan kepada parti.
Menurut beliau, PKR mempunyai barisan kepemimpinan berkaliber yang mampu meneruskan tanggungjawab serta memastikan urusan parti berjalan seperti biasa.
“Parti sudah pasti sedikit sebanyak akan terkesan tetapi kami mempunyai barisan kepemimpinan yang berkaliber untuk menanggung kerja tersebut dan parti telah memberikan amanah kepada Datuk Seri Saifuddin.
“Saya rasa ia boleh ditangani dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Ekologi Manusia (HEIC II), di sini semalam.
Amirudin berkata, daripada sudut pentadbiran kerajaan, keputusan berkenaan tidak menimbulkan kesan ketara kerana Nurul Izzah tidak memegang jawatan eksekutif di mana-mana kementerian.
“Untuk kerajaan, saya rasa tidak ada begitu kesan sebab beliau tidak mempunyai posisi eksekutif di dalam kerajaan, kementerian.
“Semuanya masih lagi boleh bekerja untuk melaksanakan polisi dalam tempoh sehingga akhir 2027 untuk melengkapkan term Kerajaan Perpaduan ataupun kerajaan gabungan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin berkata spekulasi mengenai kemungkinan Nurul Izzah berundur daripada jawatan Timbalan Presiden PKR sudah lama kedengaran dalam kalangan pemain politik.
Bagaimanapun, katanya, keputusan itu hanya dikemukakan secara rasmi baru-baru ini dan wajar dihormati terutama apabila Nurul Izzah mempunyai beberapa kekangan peribadi yang perlu ditangani.
Khamis lalu, Nurul Izzah mengumumkan keputusan melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR.
Namun, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR menolak peletakan jawatan berkenaan.-UTUSAN.
The post Peletakan jawatan Nurul Izzah tidak jejas pentadbiran kerajaan appeared first on Utusan Malaysia.






