LTdL 26: Izzat Hilmi sedia tebus kekecewaan di Putrajaya 

3 Oct 2026 • 3:54 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: LTdL 26: Izzat Hilmi sedia tebus kekecewaan di Putrajaya 

BATU PAHAT – Kekecewaan terlepas peluang menaiki podium di laman sendiri pada Peringkat 7 hari ini tidak sesekali mematahkan semangat pakar pecut Malaysia Pro Cycling (MPC), Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil untuk bangkit memburu podium perlumbaan terakhir Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) di Putrajaya, esok.

Pada perlumbaan sejauh 158.9 kilometer (km) dari Melaka ke Batu Pahat itu, pelumba kelahiran Batu Pahat berkenaan sekadar berpuas hati di kedudukan ke-16 keseluruhan, sekali gus muncul pelumba terbaik negara melintasi garisan penamat.

Izzat Hilmi mengakui perlumbaan berlangsung dalam tempo cukup tinggi sejak awal saingan, menyaksikan percaturan berani empat pelumba yang melakukan breakaway dan berjaya bertahan sehingga penghujung perlumbaan.

“Peloton hampir mengejar mereka, tetapi kelompok hadapan mengekalkan momentum kayuhan dengan sangat baik dan berjaya bertahan sehingga penghujung perlumbaan.

“Pada penghujung perlumbaan, saya cuba mencelah, namun laluan sedikit tersangkut di selekoh terakhir. Saya sebenarnya hampir meraih kedudukan kedua terbaik Asia, tetapi pelumba Jepun (Hijiri Oda) memintas saya kira-kira 50 meter sebelum garisan penamat.

“Apapun, perlumbaan masih belum berakhir dan ada satu lagi peluang untuk ditebus di Putrajaya,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlumbaan hari ini.

Bagi pelumba berusia 29 tahun itu, impian menaiki pentas podium LTdL yang dipendam sejak 2023 masih membara dan dia percaya sasaran tersebut tidak mustahil untuk direalisasikan sebelum tirai kejohanan dilabuhkan.

“Sebelum ini saya pernah dua kali menamatkan saingan di tempat keempat. Kalau tempat keempat saya boleh capai, sudah pasti tempat ketiga dan kedua juga mampu diraih. Apa yang penting, saya tidak akan berputus asa dan akan berikan segalanya esok,” tegasnya.

Sebagai rekod, pencapaian terbaik Izzat Hilmi di pentas berprestij itu adalah menamatkan Peringkat 1 edisi 2023 di tempat keempat keseluruhan sebelum mengulangi pencapaian sama pada Peringkat 6 LTdL 2025.

Saingan kemuncak Peringkat 8 LTdL 2026 esok akan bermula dari Dataran Tanjung Emas, Muar menuju ke Presint 3, Putrajaya sejauh 188.3km yang menawarkan tiga zon pecutan di Simpang Ampat, Seremban dan Nilai, serta satu zon pendakian Kategori 3 di Bukit Mantin. – KOSMO! ONLINE

The post LTdL 26: Izzat Hilmi sedia tebus kekecewaan di Putrajaya  appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved