Peluang terbaik tunjuk GRS pilihan tepat: Ketua Menteri

LocalPolitics
7 Apr 2025 • 4:13 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Johan Aziz, Clarence Dol

KENINGAU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan semua ahli parti komponen GRS supaya memberikan sokongan padu kepada pemimpin yang dipilih oleh gabungan pemerintah untuk menjadi calon dalam Pilihan Raya Negeri akan datang.

“Saya tidak mahu sesiapa pun mensabotaj atau tidak bekerjasama. Jika saya dapati ada ahli, terutamanya daripada GRS, yang tidak menyokong calon GRS, kita akan ambil tindakan tegas.

“Saya mahu GRS terus kuat dan bersatu serta ahli-ahli memperkukuh perpaduan antara parti-parti komponen GRS,” katanya.

Hajiji berkata kerajaan negeri sedang melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat, termasuk masalah air yang sering dijadikan modal oleh pembangkang.

“Pembangkang sering menggunakan masalah seperti air untuk mengatakan kita sebagai kerajaan telah gagal. Walhal mereka tahu bahawa kita mewarisi masalah ini dari masa lalu.

“Namun, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita akan cuba menyelesaikan masalah-masalah ini. Tapi inilah pembangkang, mereka sudah tiada modal lagi,” katanya dalam Majlis Sambutan Hari Raya yang dianjurkan bersama Kim Teck Cheong Consolidated Berhad di Kompleks Sukan Keningau, di sini, baru-baru ini.

Hajiji turut memberi amaran para pemimpin supaya tidak menaja calon sendiri pada pilihan raya akan datang.

Berucap semasa Program Jelajah GRS Zon 4 Ranau yang diadakan di Pentas Dewan Terbuka Pekan Kundasang, beliau berkata calon-calon tajaan tidak akan diterima sebagai calon GRS.

“Kita perlu belajar daripada sejarah politik kita yang lepas. Kita mesti bersatu, tidak boleh ada penajaan-menaja di Ranau.

“Saya tidak mahu perkara itu berlaku. Kalau dia dari Gabungan Rakyat Sabah tapi menaja orang lain (untuk jadi calon), kita tidak akan terima orang itu sebagai calon kita.

“Saya ingin tegaskan di sini, sebagai Pengerusi GRS, perkara ini tidak boleh berlaku,” katanya sambil menyeru agar pemimpin tidak lagi berpecah kerana kini banyak pihak memerhati perpaduan GRS.

Hajiji berkata pemimpin mesti bijak dalam berpolitik.

“Cukuplah bergaduh dan berpecah. Jangan kita berpecah lagi kerana banyak pihak kini memerhatikan kesatuan kita. Marilah kita tunjukkan kepada mereka bahawa GRS adalah pilihan rakyat Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum,” katanya.

Program itu, yang dihadiri oleh ribuan penyokong daripada parti komponen GRS seperti Parti Bersatu Sabah (PBS), StarSabah, Gagasan Rakyat dan lain-lain, turut disertai ratusan pemimpin masyarakat.

“Kita adalah Kerajaan Negeri GRS dan kita mahu pastikan GRS menang di Ranau dalam ketiga-tiga kawasan DUN milik GRS. GRS adalah parti kita, parti tempatan, rumah kita, kita jaga ia,” katanya.

Menurutnya, inilah peluang terbaik untuk rakyat Sabah menunjukkan kepada pihak luar bahawa GRS adalah pilihan tepat untuk rakyat Sabah.

“Kita mengangkat GRS bukan secara kebetulan, kita telah memerintah lebih daripada empat tahun dan bukti pencapaian kita sangat hebat. Kita telah mencapai banyak perkara setakat ini.

“Ada pihak di luar sana yang berkata macam-macam tentang GRS, tapi mereka tidak nampak seolah-olah mereka buta. Ada yang berjanji macam-macam untuk tarik undi tapi semuanya cakap kosong.

“Kita tidak suka menyerang parti tertentu, tapi jika mereka keterlaluan dan mereka-reka cerita, kita dalam GRS sanggup melawan mereka. Kita tidak akan biarkan Sabah diserahkan kepada mereka yang hanya pandai bercakap tapi tidak pandai bekerja dengan betul.”

Pada majlis itu, Hajiji turut menyampaikan Geran Tanah kepada 1,143 penerima di tiga kawasan di Ranau yang melibatkan lebih daripada 4,000 ekar, satu Inisiatif di bawah Program Pantas yang telah diwujudkan sejak 2011.