Pelumba basikal trek Terengganu cipta sensasi, pecah rekod kebangsaan dua kali

22 Aug 2026 • 9:13 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pelumba basikal trek Terengganu cipta sensasi, pecah rekod kebangsaan dua kali
Pasukan pelumba Terengganu menunjukkan pingat emas yang dimenangi dalam acara akhir berbasikal trek pursuit berpasukan wanita menentang Johor pada Sukma Selangor 2026 di Velodrom Nasional, Sabtu. Foto Bernama

EMPAT pelumba berbasikal trek wanita Terengganu mencipta sensasi apabila meraih pingat emas sambil memecahkan rekod kebangsaan sebanyak dua kali dalam acara kejar-mengejar berpasukan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di Velodrom Nasional di sini pada Sabtu.

Gandingan adik-beradik Nur Aeirin Wadhiah Mohd Adni dan Nur Aieris Madhiah bersama Dahlia Hazwani Hasyim serta Ameera Alya Md Zahiruddin mencatat masa 4 minit 42.878 saat (s) pada perlumbaan akhir, sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan 4:46.824s yang dicipta mereka sendiri pada peringkat kelayakan.

Catatan pada peringkat kelayakan itu terlebih dahulu memadam rekod kebangsaan terdahulu 4:47.317s yang dilakar wakil Johor pada Sukma 2022.

Terengganu sekali gus muncul juara dengan menewaskan Johor yang mencatat masa 4:47.522s untuk meraih perak, manakala gangsa menjadi milik Kedah.

Aieris Madhiah menyifatkan kejayaan itu sebagai sesuatu yang tidak dijangka, apatah lagi Terengganu terpaksa menunggu selama lapan tahun untuk kembali meraih emas acara kejar-mengejar berpasukan, selepas kali terakhir melakukannya pada 2018.

"Saya rasa sangat bangga sebab dapat cipta rekod baharu untuk Terengganu. Akhirnya kami berjaya melakukannya hari ini,” katanya selepas perlumbaan.

Menurut Aieris Madhiah, persiapan skuad berkenaan menjelang temasya itu sebenarnya lebih tertumpu kepada acara lebuh raya berbanding trek, termasuk ketika menjalani kem latihan pusat di Thailand.

Bagaimanapun, pengalaman serta keserasian keempat-empat pelumba yang sudah berlatih bersama selama dua tahun membantu mereka menampilkan kayuhan terbaik pada saat diperlukan.

"Persiapan kami untuk trek tidak banyak kerana kami sebenarnya lebih fokus kepada acara lebuh raya. Tetapi kami bawa semangat kemenangan daripada acara berpasukan lebuh raya Sukma baru-baru ini ke dalam velodrom.

"Gandingan empat orang ini sudah berlatih bersama selama dua tahun dan pernah beraksi dalam dua kejohanan besar kebangsaan sebelum ini,” katanya. - Bernama

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved