
NILAI – Nurul Nabilah Mohd Asri membuktikan dirinya wanita luar biasa apabila menuai empat pingat emas menerusi tiga disiplin berbeza pada penampilan terakhirnya di Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026.
Pelumba Kedah berusia 21 tahun itu melengkapkan koleksi emasnya menerusi acara pecut berpasukan wanita di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai, hari ini sekali gus menutup tirai penampilan Sukma dengan pencapaian cukup istimewa.
Nabilah meraih emas bersama Zahra Afifah Zamri dan Nurain Syazwienafahmi Mohd Farid mencatat masa 51.600 saat untuk meraih emas, menewaskan Pulau Pinang yang membawa pulang perak dengan catatan 53.000 saat, manakala Johor meraih gangsa menerusi 52.596 saat.
Kejayaan itu melengkapkan koleksi emas Nabilah dalam tiga disiplin berbeza selepas dia turut mengungguli acara merentas desa basikal (XCO), kriterium dan lebuh raya individu wanita pada temasya kali ini.
Lebih mengagumkan, pelumba berkenaan mengumpul keseluruhan empat emas, satu perak dan dua gangsa pada penampilan terakhirnya di pentas Sukma.
Pencapaian itu turut menyaksikan Nabilah mengatasi pencapaian kakaknya, ratu trek negara Nurul Izzah Izzati, yang mengumpul empat emas pada Sukma Kuala Lumpur 2022 dari segi jumlah keseluruhan pingat.
“Alhamdulillah, buat masa sekarang saya puaslah. Saya dapat bawa balik empat emas, satu perak dan dua gangsa.
“Saya rasa emas yang terbaik adalah MTB, lebuh raya dan kriterium,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.
Menurut Nabilah, emas dalam acara kriterium menjadi koleksi paling bermakna buatnya kerana acara itu memerlukan konsistensi dan ketahanan untuk mengumpul mata menerusi beberapa pecutan sebelum memastikan kedudukan terus kukuh sehingga perlumbaan berakhir.
“Emas paling berharga saya adalah kriterium sebab ia adalah acara mata,” katanya.
Nabilah berkata keputusan menyertai sebanyak mungkin acara pada edisi kali ini dibuat kerana mahu memberikan segala-galanya pada penampilan terakhirnya di pentas Sukma.
“Ini Sukma terakhir saya, jadi saya mahu cuba semua acara yang boleh dan beri yang terbaik. Selepas ini kalau diberi peluang, saya rasa saya lebih cenderung kepada acara lebuh raya,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post Sukma 2026: Nabilah lengkapkan misi empat emas appeared first on Kosmo Digital.






