Sukma 2026: Rekod baharu iringi emas Terengganu

22 Aug 2026 • 8:54 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sukma 2026: Rekod baharu iringi emas Terengganu

NILAI – Hanya memberi tumpuan dalam acara lebuh raya, skuad berbasikal trek wanita Terengganu tetap tampil dengan aksi luar biasa apabila memecahkan rekod kebangsaan sebanyak dua kali untuk meraih emas acara kejar-mengejar pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026, hari ini.

Pelumba Terengganu yang dibarisi Dahlia Hazwani Hasyim, Ameera Alya Md Zahirrudin serta pasangan adik beradik, Nur Aierin Wadhiah dan Nur Aieris Madhiah Mohd Adni, mempamerkan kayuhan bertenaga di Velodrom Nasional Malaysia.

Mereka terlebih dahulu memecahkan rekod kebangsaan pada pusingan kelayakan dengan catatan 4 minit 46.824 saat mengatasi rekod kebangsaan terdahulu 4:47.317s.

Namun, kejayaan itu tidak berhenti di situ apabila memperbaiki catatan berkenaan dalam aksi final dengan masa lebih pantas 4:42.878s untuk sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan.

Catatan berkenaan turut memastikan Terengganu menamatkan penantian lapan tahun bagi menyambar emas selepas mengatasi Johor untuk perak, manakala Kedah membawa pulang gangsa.

Lebih manis, kejayaan itu menamatkan penantian lapan tahun Terengganu untuk kembali menguasai acara berkenaan selepas kali terakhir meraih emas pada Sukma 2018.

Nur Aieris berkata, kejayaan tersebut amat membanggakan kerana mereka sendiri tidak menjangka mampu memecahkan rekod kebangsaan pada edisi kali ini.

“Saya rasa bangga sebab dapat buat rekod baharu untuk Terengganu. Selepas lama rekod tidak dipecahkan, akhirnya Terengganu berjaya melakukannya.

“Sebenarnya kami tidak menjangkakan pun boleh pecahkan rekod tahun ini. Mungkin ini memang rezeki kami,” katanya.

Menurutnya, persiapan mereka sebelum Sukma kali ini juga lebih banyak tertumpu kepada acara lebuh raya berbanding trek.

“Kami tidak banyak buat persiapan untuk trek sebab lebih banyak fokus kepada acara lebuh raya. Ketika kem latihan di Thailand pun, kami banyak fokus kepada lebuh raya.

“Mungkin semangat selepas menang acara berpasukan lebuh raya Sukma memberi motivasi kepada kami apabila turun di velodrom,” katanya.

Aierin berkata, faktor keserasian turut menjadi antara kekuatan utama mereka apabila mereka sudah berlatih bersama selama dua tahun.

Ditanya sama ada sasaran mereka sejak awal adalah untuk memecahkan rekod kebangsaan, Aierin mengakui ia bukan sesuatu yang dirancang secara khusus.

“Kami tidak jangka pun dapat pecahkan rekod tahun ini. Mungkin memang rezeki kami,” katanya. -KOSMO! ONLINE

The post Sukma 2026: Rekod baharu iringi emas Terengganu appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved