Pemain Ragbi SUKMA Pulau Pinang Meninggal Dunia Selepas Rebah Ketika Latihan

24 May 2026 • 5:06 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pemain Ragbi SUKMA Pulau Pinang Meninggal Dunia Selepas Rebah Ketika Latihan

KUALA LUMPUR  — Seorang pemain ragbi Sukma Pulau Pinang meninggal dunia selepas rebah ketika menjalani sesi latihan di padang bola sepak Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA), Kulim, semalam.

Timbalan Ketua Polis Kulim, DSP Tengku Mohd Faisal Tengku Yeng berkata, mangsa, Muhammad Adam Putra Syahril, 21, dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri ketika latihan sedang berlangsung kira-kira jam 5.30 petang.

Menurut beliau, pelajar sebuah institusi pengajian tinggi di Perlis itu diberikan bantuan kecemasan awal oleh jurulatihnya sebelum dikejarkan ke Hospital Kulim dengan ambulans.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di unit kecemasan hospital berkenaan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Difahamkan, mangsa yang berasal dari Kulim sedang menjalani latihan praktikal di daerah itu dan tidak mempunyai sebarang rekod penyakit. - Getaran, 24 Mei 2026