
LARUT: Polis merakam keterangan 10 individu bagi membantu siasatan kes kematian dua pelajar perempuan yang ditemukan maut di Flat Sungai Pari, Ipoh, di sini pada 24 Julai lepas.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata kesemua individu itu merupakan rakan dan guru kedua-dua mangsa berkenaan.
“Setakat itu sahaja maklumat yang kita boleh kongsikan dan hasil siasatan tidak menunjukkan terdapat unsur jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Alwi berkata pihaknya telah menghantar beberapa barangan milik kedua-dua mangsa kepada pihak forensik bagi membantu siasatan, namun keputusan masih belum diperoleh hingga kini.
Sebelum ini, Mohd Alwi mengesahkan kejadian dan siasatan awal mendapati dua pelajar berusia 14 tahun dipercayai meninggalkan kawasan sekolah sebelum ditemukan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian, kemudian disahkan meninggal dunia.

.jpg)




