Pemandu berani guna jambatan hampir runtuh di Greece

5 Aug 2026 • 10:29 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pemandu berani guna jambatan hampir runtuh di Greece

GREECE: Jambatan Palaiopyrgos di Greece runtuh selepas tidak mampu menahan arus deras dan banjir besar akibat Ribut Daniel yang melanda negara itu pada September 2023.

Jambatan berkenaan merupakan antara 79 jambatan di wilayah Thessaly yang rosak atau tidak lagi boleh digunakan selepas ribut itu melanda, menyebabkan kerosakan besar terhadap infrastruktur penting di kawasan berkenaan.

Menghubungkan komuniti pesisir di Perbandaran Tempi dan Perbandaran Agia, Jambatan Palaiopyrgos merupakan laluan penting bagi penduduk setempat.

Namun, keadaan jambatan itu kini amat membimbangkan apabila ia kelihatan kendur dengan bahagian tengahnya hanya beberapa inci di atas perairan Sungai Pineios.

Keadaan berbahaya itu bagaimanapun tidak menghalang segelintir pemandu berani daripada terus menggunakan jambatan berkenaan.

Secara rasmi, Jambatan Palaiopyrgos runtuh pada 2023 dan ditutup kepada lalu lintas sejak itu. Bagaimanapun, jambatan tersebut tidak dipasang penghadang atau dibaiki, membolehkan mereka yang mengabaikan papan tanda larangan atas faktor keselamatan terus melaluinya.

Rakaman dron yang dirakam akhbar Larissanet Daily menunjukkan sebuah Ford Ranger bergerak perlahan-lahan merentasi jambatan yang runtuh itu seolah-olah melalui laluan berhalangan, sebelum akhirnya berjaya sampai ke seberang.

Menurut penduduk tempatan, ramai pemandu sanggup mengambil risiko merentasi Jambatan Palaiopyrgos kerana laluan alternatif memerlukan perjalanan lebih jauh yang menyebabkan mereka kehilangan masa dan menggunakan lebih banyak bahan api.

Lebih membimbangkan, pelancong juga dilaporkan sering diarahkan melalui jambatan yang runtuh itu, menyebabkan mereka terpaksa berpatah balik selepas melihat papan tanda amaran atau mengambil risiko merentasinya.- AGENSI

The post Pemandu berani guna jambatan hampir runtuh di Greece appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved