
KULIM: Seorang penjual ikan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang warga emas, 2 Ogos lalu.
Tertuduh, Ng Sau Horng, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Hamizah Mat Shah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu Perodua Ativa secara melulu sehingga menyebabkan kematian N. R. Chandra Kanthan, 75, di Jalan Kulim-Kelang Lama, di sini kira-kira pukul 10.30 pagi pada 2 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak melebihi RM50,000 jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ain Fadilla Mohamad Fauzi memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Benjamin Tan memohon jaminan minimum dengan memaklumkan anak guamnya hanya bekerja sebagai penjual ikan dan memperoleh pendapatan sekitar RM2,200 sebulan.
Katanya, tertuduh telah bercerai dan mempunyai seorang anak perempuan berusia lima tahun yang masih berada di bawah tanggungannya, selain menghidap penyakit darah tinggi dan perlu mendapatkan rawatan serta mengambil ubat secara berkala.
Majistret Nor Hamizah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai. Mahkamah kemudian menetapkan 14 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – UTUSAN
The post Penjual ikan tidak mengaku pandu melulu, akibatkan kematian warga emas appeared first on Utusan Malaysia.






