Pemandu Hilux tular lawan arus, langgar motosikal ditahan

20 Nov 2026 • 11:01 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pemandu Hilux tular lawan arus, langgar motosikal ditahan

KUALA LUMPUR, 20 NOV: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas memandu Toyota Hilux melawan arus di Jalan Raja Laut awal pagi hari ini, sebelum kenderaan itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan ketika cuba melarikan diri daripada sekumpulan penunggang motosikal.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur Superintenden Suffian Abdullah berkata kejadian berlaku kira-kira 2.47 pagi, ketika lelaki berusia 33 tahun itu memandu dari arah Jalan Sultan Ismail menghala ke Jalan 1/64D.

Beliau berkata sekumpulan penunggang motosikal kemudian mengejar kenderaan berkenaan, manakala beberapa individu dipercayai memukul kenderaan itu menggunakan topi keledar.

“Berdasarkan keterangan awal, pemandu dipercayai panik dan hilang kawalan ketika cuba melarikan diri, sebelum kenderaannya melanggar sebuah motosikal dan terbabas lalu merempuh pembahagi jalan. Pemandu mengalami lebam pada muka, badan dan tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suffian berkata ujian saringan alkohol menggunakan alat SD2+ mendapati, pemandu tidak mempunyai kandungan alkohol dengan bacaan 0mg/100ml, manakala ujian saringan air kencing turut menunjukkan keputusan negatif dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved