
PUTRAJAYA – Polis mengesahkan pemandu kereta yang terlibat dalam kemalangan maut merempuh dua penunggang basikal di Kilometer 9, Jalan Persiaran Selatan di sini malam tadi tidak ditahan setakat ini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pemandu berkenaan bagaimanapun telah tampil membuat laporan polis dan keterangannya sudah diambil bagi membantu siasatan.
“Pemandu kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian berkenaan. Lelaki itu juga telah membuat laporan polis dan keterangannya telah dirakam untuk tujuan siasatan. Setakat ini, pemandu terbabit tidak ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.15 malam di Kilometer 9 itu, mangsa, Mohd. Hilmi Tahar, 48, dan Syazwan Zharif Abdul Karim, 30, disahkan maut di lokasi kejadian.
Aidi Sham sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta terbabit dipercayai mengubah haluan dari lorong tengah ke lorong kiri sebelum melanggar kedua-dua mangsa.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Putrajaya di talian 03-88862138 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
The post Pemandu kereta rempuh 2 penunggang basikal diambil keterangan, tidak ditahan appeared first on Kosmo Digital.






![[VIDEO] ‘Siapa ada dashcam insiden penunggang basikal di Presint 5?’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-21-at-2.19.23-PM-1024x657.jpeg)