
PUTRAJAYA: Anak sulung kepada salah seorang penunggang basikal yang maut dirempuh kereta di Kilometer 9, Jalan Persiaran Selatan di sini malam tadi tidak menyangka pertemuan mereka kira-kira sejam sebelum kejadian menjadi detik terakhir bersama bapanya.
Dhia, 18, berkata, arwah bapanya, Mohd. Hilmi Tahar, 48, sempat mengusap kepalanya sebelum keluar berbasikal bersama rakan-rakan sekitar pukul 9 malam.
Menurutnya, ketika itu mereka tidak berbual panjang dan dia hanya sempat berpesan kepada bapanya supaya berhati-hati.
“Tidak banyak yang kami bualkan malam tadi, tetapi walid sempat usap kepala saya dan saya cakap ‘take care’ (hati-hati).
“Mummy kemudian menerima panggilan telefon kira-kira pukul 10.30 malam memaklumkan kejadian itu sebelum kami bergegas ke hospital.
“Saya memang terkejut dan ketika itu saya yakin walid akan baik-baik sahaja kerana kami sangka keadaannya tidak serius,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Putrajaya di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, berita mengenai kematian bapanya amat meruntun jiwa keluarga, namun dia berusaha untuk terus kuat demi ibunya serta adik-beradik yang lain.
Menurut Dhia, aktiviti berbasikal merupakan hobi bapanya sejak beberapa tahun lalu dan arwah sering meluangkan masa bersama rakan-rakan menjalankan aktiviti tersebut.
Katanya, arwah yang bekerja di sebuah syarikat swasta merupakan seorang insan penyayang, bertanggungjawab dan sentiasa menghulurkan bantuan kepada orang lain.
Sementara itu, isteri arwah yang hanya mahu dikenali sebagai Naz, 45, berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya siasatan kes berkenaan kepada pihak polis.
“Saya serahkan semuanya untuk siasatan pihak polis,” katanya ringkas.
Difahamkan, jenazah Mohd. Hilmi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 sebaik semua urusan berkaitan selesai.
Terdahulu, dua penunggang basikal maut selepas mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala akibat dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Persiaran Selatan di sini kira-kira pukul 10.15 malam tadi.
Mangsa yang terkorban ialah Mohd. Hilmi Tahar, 48, dan Syazwan Zharif Abdul Karim, 30, yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, siasatan awal mendapati pemandu kereta terbabit dipercayai mengubah haluan dari lorong tengah ke lorong kiri sebelum melanggar kedua-dua mangsa. – UTUSAN
The post Walid sempat usap kepala sebelum keluar berbasikal appeared first on Utusan Malaysia.





