![Image from: [VIDEO] ‘Siapa ada dashcam insiden penunggang basikal di Presint 5?’](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-21-at-2.19.23-PM-1024x657.jpeg)
PETALING JAYA – Keluarga salah seorang daripada dua penunggang basikal yang maut selepas dirempuh sebuah kereta di Persiaran Selatan, di Putrajaya malam tadi memohon orang ramai yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) ketika kejadian tampil membantu siasatan.
Permohonan itu dikongsikan seorang pengguna media sosial menerusi akaun TikTok @8didieymelody92_official yang turut mengucapkan terima kasih kepada individu yang telah menyerahkan rakaman kejadian berkenaan.
“Terima kasih tuan punya dashcam. Sesiapa lagi yang ada rakaman dashcam kejadian kemalangan dekat Presint 5, Putrajaya boleh DM (mesej peribadi) saya.
“Suami anak saudara saya kena langgar dan meninggal,” katanya dalam perkongsian tersebut.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Threads @shaikhalie memaklumkan, kakaknya yang juga seorang doktor antara individu terawal membantu memeriksa keadaan mangsa di lokasi kejadian.
“Salam takziah. Kakak saya doktor yang tolong periksa nadi dan tutupkan jenazah. Ini dashcam kereta dia, masa ini baru jadi,” katanya.
Menerusi rakaman dashcam terbabit, kelihatan kedua-dua mangsa terpelanting ke tepi jalan dan salah seorang daripada mereka terseret beberapa meter ke hadapan.
Pada masa sama, topi keselamatan yang dipakai penunggang basikal terbabit turut terpelanting ke tengah jalan selepas rempuhan berlaku.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan dua penunggang basikal maut selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian muka dan kepala akibat dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 9, Persiaran Selatan, di sini kira-kira pukul 10.15 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, kedua-dua mangsa Mohd. Hilmi Tahar, 48, dan Syazwan Zharif Abdul Karim, 30, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu kereta terbabit dipercayai mengubah haluan dari lorong tengah ke lorong kiri sebelum melanggar kedua-dua mangsa.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Putrajaya untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE
The post [VIDEO] ‘Siapa ada dashcam insiden penunggang basikal di Presint 5?’ appeared first on Kosmo Digital.






