
Ops Khas Bersepadu Dadah Terhadap Kenderaan Perdagangan yang bermula 1 Julai lepas masih dijalankan bagi membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu.
JITRA: Seorang pemandu lori membawa muatan simen ditahan selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine dalam Ops Khas Bersepadu Dadah Terhadap Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Jitra (arah selatan), malam tadi.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah Stien Van Lutam berkata lelaki berusia 43 tahun dari Pendang itu ditahan selepas ujian saringan air kencing oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mendapati dia positif dadah berkenaan.
Beliau berkata lelaki itu dipercayai dalam perjalanan dari Perlis ke Perak untuk menghantar muatan simen sebelum ditahan dalam operasi bersepadu berkenaan.
“Suspek antara enam individu yang diarahkan menjalani ujian air kencing dan mengakui mengambil bahan terlarang itu dengan alasan untuk mengelakkan rasa mengantuk ketika memandu.
“Ini juga merupakan kesalahan berulang bagi suspek dan kita memandang serius perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan di sini, malam tadi.
Stien berkata suspek kemudian diambil tindakan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Beliau berkata penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya, terutama kerana kenderaan terbabit bersaiz besar dan berat.
Ops Khas Bersepadu Dadah Terhadap Kenderaan Perdagangan yang bermula 1 Julai lepas masih dijalankan bagi membanteras penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu.
“Operasi ini memberikan tumpuan kepada pemeriksaan dan saringan pemandu kenderaan perdagangan bagi mengesan penyalahgunaan dadah serta kesalahan lain yang boleh menjejaskan keselamatan jalan raya,” katanya.
Beliau berkata JPJ turut mengambil tindakan terhadap pemandu yang didapati positif dadah dan dikenakan tindakan oleh AADK, termasuk menahan Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan lesen vokasional sehingga siasatan serta tindakan AADK selesai.






