ISKANDAR PUTERI - Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan agar Hospital Pasir Gudang dapat beroperasi sepenuhnya dengan segera.
Baginda bertitah, isu perjawatan dan kelengkapan di hospital berkenaan perlu diselesaikan segera tanpa sebarang kelewatan.
"Saya mahu pengoperasian penuh Hospital Pasir Gudang disegerakan. Walaupun sebahagian besar perkhidmatan telah mula beroperasi, isu perjawatan dan kelengkapan perlu diselesaikan segera tanpa sebarang kelewatan," titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Penggal Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini pada Khamis.
Pada 29 Jun 2025, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, Hospital Pasir Gudang yang diserahkan secara rasmi kepada Kementerian Kesihatan (KKM) akan beroperasi secara berfasa mulai 1 Ogos 2025.
Bagaimanapun, pembukaan hospital baharu itu ditangguhkan ke tahun ini berikutan berlaku beberapa isu teknikal termasuk kekurangan petugas kesihatan, khususnya doktor serta jururawat.
Pada akhir tahun lalu, Hospital Pasir Gudang mula beroperasi secara berperingkat dengan beberapa kemudahan dan perkhidmatan awal bagi memenuhi keperluan kesihatan rakyat, khususnya di kawasan berkenaan.
Bagi pengoperasian Hospital Pasir Gudang, sebanyak 11 daripada 14 kepakaran perubatan utama mula beroperasi merangkumi Jabatan Kecemasan dan Trauma, Perubatan Am, Pembedahan Am, Pediatrik, Anestesiologi, Obstetrik & Ginekologi.
Sementara itu, Tunku Ismail menzahirkan ucapan syabas di atas pengiktirafan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor sebagai antara World's Best Hospital 2026.
"Saya yakin pencapaian ini adalah hasil usaha bersama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuhkan kualiti perkhidmatan, kemudahan serta kecekapan sistem kesihatan Johor yang kini berada pada landasan yang tepat," titahnya.
Baginda bertitah, pelbagai inisiatif seperti menambah baik fasiliti, pelaksanaan sistem digital serta pendekatan inovatif bagi mengurangkan kesesakan perkhidmatan hospital juga sudah berjaya meningkatkan pengalaman dan keselesaan pesakit.






