Projek sistem transit rel keperluan mendesak di Johor - Tunku Mahkota Ismail

LocalPolitics
30 Apr 2026 • 11:55 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Projek sistem transit rel keperluan mendesak di Johor - Tunku Mahkota Ismail
Tunku Mahkota Ismail tiba di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini pada Khamis.

 

ISKANDAR PUTERI – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, kerajaan Persekutuan perlu memberi perhatian serius terhadap projek sistem transit rel di bandar raya Johor Bahru.

Baginda bertitah, projek berkenaan yang diintegrasikan dengan Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru–Singapura adalah bagi menyediakan keterhubungan lancar serta mengurangkan kesesakan trafik.

“Ia merupakan satu keperluan mendesak bagi memastikan kesiapsiagaan Johor menghadapi peningkatan pergerakan rakyat.

“Saya berharap segala pertimbangan dan kelulusan yang diperlukan dapat dipercepatkan demi memastikan sistem pengangkutan awam di Johor benar-benar mampu menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan bangsa Johor,” katanya.

Baginda bertitah demikian ketika berucap dalam pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini pada Khamis.

Dijadualkan siap menjelang Disember 2026 dan beroperasi awal 2027, RTS Link akan menghubungkan Bukit Chagar ke Woodlands North dengan masa perjalanan selama lima minit.

RTS Link adalah projek laluan kereta api ulang alik sepanjang kira-kira empat kilometer dengan dua stesen - satu di Bukit Chagar di Johor Bahru dan satu lagi di Woodlands North, Singapura.

MRT Corp dipertanggungjawab membangunkan bahagian Malaysia sepanjang 2.7 kilometer (km) bagi rangkaian rel dan struktur diperlukan yang mana operasi itu akan dijalankan secara bersama dengan Prasarana Malaysia Bhd dan SMRT Corp Ltd dari Singapura.

Selepas siap kelak, RTS Link akan menjadi jambatan darat ketiga ke Singapura dan dijangka dapat mengurangkan lagi kesesakan teruk yang sentiasa dialami di Tambak Johor.

Dengan kapasiti puncak 10,000 penumpang sejam setiap hala, RTS Link bertujuan meningkatkan ketersambungan rentas sempadan dan memupuk hubungan Malaysia-Singapura yang lebih kukuh.

Projek ini juga meliputi kemudahan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) yang ditempatkan bersama untuk memastikan proses pelepasan penumpang yang lancar.