
KUALA LUMPUR: Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 membuka ruang untuk memperbaharui kerangka pendidikan tinggi negara, menurut Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Presiden ABIM Ahmad Fahmi Mohd. Samsudin yang menyambut baik pemansuhan akta itu, turut mencadangkan kerajaan membangunkan kerangka perundangan pasca-AUKU secara cermat dan merangkumi seluruh ekosistem pendidikan tinggi negara.
Beliau berkata fokus utama kini harus tertumpu kepada pembinaan ekosistem pendidikan tinggi baharu, yang mampu menyeimbangkan kebebasan mahasiswa dengan tadbir urus institusi yang kukuh.
“Pemansuhan AUKU tidak bermaksud menghapuskan keperluan terhadap tadbir urus universiti yang kukuh. Kerangka pasca-AUKU perlu menyeimbangkan kebebasan mahasiswa dan akademik dengan autonomi institusi, integriti, akauntabiliti serta kecemerlangan ilmu.
“Makna reformasi ini perlu melangkaui ruang aktivisme dan dirasakan oleh seluruh mahasiswa, melalui penglibatan yang lebih bermakna dalam perkara yang menyentuh pendidikan, kebajikan dan kehidupan kampus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata perubahan undang-undang itu perlu disertakan dengan pembinaan budaya kampus yang menggalakkan mahasiswa berfikir, berbahas, berorganisasi serta menyumbang kepada masyarakat.
Selain itu, Ahmad Fahmi berpandangan prinsip kebebasan akademik dan hak mahasiswa, perlu diberikan perhatian secara adil merentasi keseluruhan sistem pendidikan, termasuk meneliti kesesuaian pindaan terhadap Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) dan Akta Universiti Teknologi MARA 1976 (Akta 173).
Justeru itu, beliau berkata proses pembentukan kerangka pasca-AUKU perlu dilaksanakan menerusi libat urus menyeluruh membabitkan mahasiswa, ahli akademik, pentadbir universiti dan pihak berkepentingan berkaitan.
“Bagi ABIM, kebebasan mesti berjalan seiring dengan adab, integriti ilmu dan mas’uliyyah. Cabaran selepas AUKU bukan sekadar membuka lebih banyak ruang kepada mahasiswa, tetapi membina generasi yang mampu mengisinya dengan ilmu, keberanian intelektual, kematangan dan tanggungjawab.
“Pemansuhan AUKU harus menjadi permulaan, bukan noktah reformasi pendidikan tinggi,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata kerajaan akan memansuhkan AUKU bagi memberi kebebasan serta ruang demokrasi lebih luas kepada gerakan mahasiswa di negara ini dan perkara itu akan dibawa ke Kabinet, Rabu depan. – BERNAMA
The post Pemansuhan AUKU buka ruang perbaharui kerangka pendidikan tinggi – ABIM appeared first on Utusan Malaysia.






