SHAH ALAM - Kerajaan digesa memenuhi empat tuntutan utama sebelum Rang Undang-Undang (RUU) baharu bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dibentangkan di Parlimen.
Tuntutan itu dikemukakan dua bekas mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Muhammad Hilman Idham dan Woon King Chai yang pernah didakwa di bawah AUKU pada 2010, termasuk supaya data kemasukan universiti awam diterbitkan mengikut program, saluran, tahap yuran, kaum dan kewarganegaraan bagi setiap universiti awam untuk tempoh 10 kebelakangan ini.
Dua bekas aktivis mahasiswa itu juga mahu soal kemasukan dimasukkan dalam akta baharu dengan tempat bersubsidi untuk rakyat Malaysia yang layak dijadikan kewajipan statutori dengan garis dasar yang ditetapkan.
"Mana-mana saluran komersial selari juga perlu dihadkan, didedahkan dan disusun mengikut merit atas asas yang sama dengan saluran utama.
"Tuntutan ketiga ialah universiti awam perlu dibiayai sebagai institusi awam melalui geran mengurus pelbagai tahun yang diikat kepada bilangan tempat prasiswazah tempatan, bukan kepada pendapatan yang dikutip daripada pengambilan yuran penuh," kata mereka dalam kenyataan bersama pada Sabtu.
Sebelum itu, dua individu tersebut mengemukakan tuntutan itu susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa AUKU akan dimansuhkan dan perkara berkenaan akan dibawa ke Kabinet pada 19 Ogos nanti.
Kedua-dua mereka merupakan dua daripada empat mahasiswa UKM yang dituduh di bawah Seksyen 15(5)(a) AUKU pada 2010 kerana kehadiran mereka semasa Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor.
Untuk rekod, cabaran mereka menghasilkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 31 Oktober 2011 yang mengisytiharkan peruntukan itu tidak berperlembagaan.
Dalam pada itu, kedua-dua individu itu turut menuntut kerajaan berunding secara terbuka dengan menerbitkan draf RUU untuk maklum balas awam dan membawa masuk kumpulan mahasiswa, badan kakitangan akademik, majlis perwakilan pelajar dan pihak pembangkang dalam proses penggubalan.
Menurut Hilman dan King Chai, pemansuhan AUKU telah menjawab persoalan yang dibangkitkan sejak 1971, namun ia tidak menjawab persoalan yang sedang dihadapi keluarga pada tahun 2026.
“Seorang anak mendapat keputusan yang baik tetapi masih tiada tempat untuknya. Jika akta baharu itu hanya menyelesaikan yang pertama, rakyat akan menang dalam hujah dimulakan 16 tahun lalu, namun kita kalah dalam hujah lebih penting hari ini," ujar mereka.
Kedua-dua individu menegaskan, komitmen sebenar kerajaan terhadap pengumuman pemansuhan AUKU hanya boleh diukur melalui RUU yang menyusul dan apabila ia dibentangkan kelak.
Mereka turut mengingatkan, berdasarkan pengalaman lalu, pemansuhan satu peruntukan akta tidak akan mampu mengatasi masalah sistemik dalam sistem pendidikan tinggi.
"Peruntukan Seksyen 15(5)(a) adalah peruntukan yang telah kami cabar dan kemudian dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 2011.
"Parlimen kemudiannya memansuhkan peruntukan itu pada Jun 2012, dan itulah sebabnya Mahkamah Persekutuan menggugurkan rayuan Kerajaan lima bulan selepas itu tanpa memutuskan merit kes," kongsi mereka.
Menurut mereka, sejak 1971, AUKU sudah dipinda tujuh kali dan akta yang terpaksa dipinda sekerap itu jelas dibina atas premis yang salah.
“Jalan yang betul ialah menggubal akta baharu berbanding terus menampal yang lama,” katanya.
Mereka berkata, antara perkara perlu diberi perhatian dalam akta ganti ialah bagaimana sebuah universiti awam dibentuk, siapa melantik lembaga pengarah dan naib canselornya, bagaimana ia menjana pendapatan dan atas syarat apa ia menerima kemasukan pelajar.
Hilman dan King Chai menambah, jika hujah untuk sebuah akta ganti bersandarkan soal praktik pentadbiran, hujah itu perlu dipertahankan atas meritnya sendiri dan tidak boleh membawa masuk semula peruntukan kawalan lama ke dalam akta baharu.
"Akta baharu itu mesti mengambil langkah proaktif untuk mengikat universiti awam kepada kemasukan yang saksama bagi rakyat Malaysia yang layak," kata mereka lagi.






