Pemansuhan AUKU selari perancangan KPT

LocalPolitics
15 Aug 2026 • 4:11 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pemansuhan AUKU selari perancangan KPT
Sebelum ini sekumpulan pelajar berarak dari Taman Tugu ke hadapan bangunan Parlimen bagi menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) - Gambar kecil (Ahmad Martadha)

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) [AUKU] merupakan satu perkembangan penting dalam perjalanan reformasi pendidikan tinggi negara.

Ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden Keadilan pada Kongres Nasional Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Perdana Menteri menyatakan bahawa kerajaan akan memansuhkan AUKU setelah mengambil kira tuntutan mahasiswa.

Sebagai sebuah universiti awam, Universiti Utara Malaysia (UUM) menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri atas komitmen tersebut, khususnya apabila ia dilihat dalam kerangka transformasi pendidikan tinggi yang lebih luas.

Kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, susulan pengumuman Perdana Menteri juga amat penting bagi memberikan gambaran yang lebih lengkap kepada masyarakat mengenai perkara ini.

Menteri Pendidikan Tinggi menjelaskan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebenarnya telah pun mengambil kira keperluan memperbaharui kerangka perundangan pendidikan tinggi negara melalui Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, yang diluncurkan pada 20 Januari 2026.

Ini bermakna usaha melakukan reformasi terhadap AUKU bukan baru muncul akibat desakan kumpulan mahasiswa semata-mata. Sebaliknya, ia telah berada dalam kerangka perancangan strategik KPT lebih awal melalui agenda pembentukan One Higher Education Act (OHEA) atau suatu akta pendidikan tinggi yang lebih komprehensif.

AUKU bukan hanya mengenai mahasiswa

AUKU sering dilihat hampir semata-mata daripada perspektif kebebasan mahasiswa, misalnya kebebasan berpersatuan, kegiatan politik, kebebasan bersuara atau hubungan mahasiswa dengan pentadbiran universiti.

Semua persoalan tersebut memang penting. Suara mahasiswa merupakan sebahagian yang tidak boleh dipisahkan daripada sebuah universiti yang matang. Namun begitu, AUKU bukan sebuah akta yang diwujudkan hanya untuk mengawal mahasiswa.

AUKU sebenanrya merupakan salah satu kerangka perundangan utama yang menjadi asas kepada penubuhan, penyelenggaraan, pentadbiran dan tadbir urus universiti awam. Ia menyentuh struktur universiti, pihak berkuasa universiti, mekanisme pentadbiran dan pelbagai aspek lain yang jauh melangkaui hal ehwal kemahasiswaan.

Atas sebab itu, pemansuhan AUKU tidak boleh dilihat seperti memansuhkan satu peraturan disiplin mahasiswa dan kemudian keseluruhan proses selesai. Apabila sebuah akta induk digantikan, negara perlu memastikan bahawa tidak berlaku kekosongan perundangan atau ketidakpastian dalam tadbir urus institusi pendidikan tinggi.

Dalam konteks ini, penjelasan Menteri Pendidikan Tinggi bahawa pemansuhan AUKU perlu disusuli dengan suatu kerangka perundangan baharu yang lebih menyeluruh, progresif dan sesuai dengan keperluan masa kini adalah amat tepat.

RPTM sudah menyediakan arah reformasi

RPTM 2026–2035 sebenarnya telah memberikan asas yang cukup jelas terhadap arah perubahan tersebut. Pelan berkenaan tidak melihat pembaharuan pendidikan tinggi semata-mata daripada perspektif mahasiswa, tetapi mengambil pendekatan ekosistem.

Antara perkara yang telah berada dalam radar pembaharuan ialah pengukuhan struktur tadbir urus IPT, autonomi institusi, kecekapan lembaga, kepimpinan universiti, kebebasan akademik serta pembentukan kerangka perundangan yang lebih tersusun.

Cadangan One Higher Education Act pula menunjukkan aspirasi untuk melihat semula landskap perundangan pendidikan tinggi secara lebih menyeluruh, termasuk hubungan antara kerangka perundangan sedia ada dan keperluan sektor pendidikan tinggi yang semakin kompleks.

Ini sangat penting kerana universiti hari ini tidak beroperasi dalam persekitaran yang sama seperti pada tahun 1971. Universiti kini berhadapan revolusi kecerdasan buatan, pendidikan rentas sempadan, mobiliti global mahasiswa dan akademik, pembelajaran digital, kerjasama industri, pengkomersialan penyelidikan, pembiayaan alternatif, TVET, tuntutan autonomi serta persaingan global mendapatkan bakat.

Justeru undang-undang yang mengawal ekosistem pendidikan tinggi juga perlu berkembang. Atas sebab itu, pengumuman Perdana Menteri adalah pengukuhan komitmen politik terhadap satu proses reformasi yang sebenarnya telah pun mendapat asas dasar melalui RPTM 2026–2035.

Berikan ruang kepada KPT melaksanakan reformasi dengan baik

Masyarakat, khususnya warga pendidikan tinggi, juga perlu mempunyai jangkaan yang realistik. Pengumuman pemansuhan merupakan permulaan kepada satu proses yang besar. Pemansuhan AUKU tidak bermakna akta tersebut boleh hilang serta-merta tanpa kerangka pengganti.

Proses tersebut tentunya akan mengambil sedikit masa kerana beberapa perkara perlu dilakukan secara teliti. Kerangka baharu perlu mengenal pasti struktur tadbir urus universiti, autonomi institusi, kedudukan lembaga universiti, kuasa dan akauntabiliti pengurusan, kebebasan akademik, suara mahasiswa, mekanisme semak dan imbang, pembiayaan, hubungan dengan kerajaan dan industri serta pelbagai aspek lain.

Lebih penting, ia perlu memastikan universiti terus dapat beroperasi secara sah dan teratur sepanjang tempoh peralihan.

Sebab itulah saya menyokong penegasan Menteri Pendidikan Tinggi bahawa proses ini mesti dilakukan secara inklusif. Mahasiswa sudah tentu perlu diberikan ruang yang bermakna. Namun begitu, mahasiswa bukan satu-satunya pemegang taruh.

Proses menggubal undang-undang pendidikan tinggi baharu perlu melibatkan kepimpinan universiti, ahli akademik, mahasiswa, kakitangan universiti, IPT awam dan swasta, POLYCC, institusi TVET, pemain industri, pakar perundangan, pakar dasar pendidikan, alumni, masyarakat sivil dan pihak berkepentingan lain.

Pada masa yang sama, oleh sebab akhirnya rang undang-undang baharu perlu melalui Parlimen, libat urus dengan wakil-wakil parti politik juga amat penting.

Reformasi pendidikan tinggi sebaik-baiknya tidak menjadi agenda partisan. Kerajaan perlu mendapatkan pandangan Ahli-Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang supaya apabila rang undang-undang baharu dibentangkan kelak, terdapat kefahaman yang lebih luas mengenai rasional, struktur dan matlamatnya.

Jika boleh, kita mahukan satu kerangka pendidikan tinggi yang mempunyai legitimasi merentas parti kerana universiti dan masa depan generasi muda tidak seharusnya berubah arah setiap kali berlaku pertukaran kerajaan.

Justeru, setelah komitmen pemansuhan AUKU diumumkan oleh Perdana Menteri, saya berpandangan semua pihak perlu memberikan masa dan ruang yang munasabah kepada KPT untuk melaksanakan proses tersebut dengan tertib.

Desakan untuk perubahan adalah sebahagian daripada demokrasi. Namun selepas keputusan dasar dibuat, tanggungjawab kita ialah memastikan perubahan tersebut dilaksanakan dengan baik.

Lebih baik kita mengambil sedikit masa untuk membentuk kerangka yang kukuh daripada terburu-buru menggantikan satu undang-undang tetapi akhirnya mencipta lebih banyak ketidakpastian. UUM bersedia menyokong usaha KPT dan menyumbang pandangan serta kepakaran sekiranya diperlukan.

*** Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed ialah Naib Canselor Universiti Utara Malaysia

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved