Pemansuhan AUKU perlu kerangka perundangan baharu

LocalPolitics
15 Aug 2026 • 2:02 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pemansuhan AUKU perlu kerangka perundangan baharu

PETALING JAYA: Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) perlu disusuli kerangka perundangan baharu yang lebih menyeluruh dan progresif bagi memenuhi keperluan pendidikan tinggi masa kini serta masa hadapan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, AUKU bukan semata-mata akta yang mengawal selia hal ehwal atau kebebasan mahasiswa, sebaliknya merupakan akta induk yang menjadi asas kepada penubuhan, pentadbiran dan tadbir urus universiti serta kolej universiti.

Katanya, pemansuhan AUKU perlu disusuli dengan suatu kerangka perundangan baharu yang lebih komprehensif bagi memastikan keperluan pendidikan tinggi negara dapat ditangani secara menyeluruh.

“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah pun mengambil kira keperluan untuk memperbaharui kerangka perundangan pendidikan tinggi negara dengan merangka sebuah akta baharu yang lebih komprehensif bagi menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30) (AUKU).

“Usaha ini telah digariskan dalam Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, yang diluncurkan pada Januari 2026, menerusi agenda pembentukan One Higher Education Act,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zambry berkata, beliau mengambil maklum pengumuman Perdana Menteri berhubung kenyataan untuk memansuhkan AUKU ketika ucapan dasar presiden pada Kongres Nasional Keadilan 2026.

Katanya, proses menggubal kerangka perundangan baharu itu akan dilaksanakan secara inklusif dan menyeluruh dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.

“Ini termasuk kepimpinan universiti, ahli akademik, institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta, pemain industri, politeknik dan kolej komuniti (POLYCC), penyedia TVET, pakar perundangan, mahasiswa serta pihak-pihak berkaitan.

“Matlamat kita bukan sekadar untuk memansuhkan sebuah akta, tetapi untuk membina kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih komprehensif dan berdaya hadapan bagi memperkukuh autonomi institusi, kebebasan akademik dan suara mahasiswa,” katanya.

Beliau berkata, kerangka baharu berkenaan turut perlu memastikan aspek tadbir urus, akauntabiliti serta kecemerlangan IPT terus terpelihara.

Katanya, usaha berkenaan merupakan sebahagian daripada transformasi pendidikan tinggi negara menerusi RPTM 2026-2035 bagi memastikan sistem pendidikan tinggi Malaysia kekal relevan dan dinamik.

“Ini bagi memastikan sistem pendidikan tinggi Malaysia kekal relevan, dinamik dan mampu menghadapi perubahan landskap pendidikan global,” katanya.- UTUSAN

The post Pemansuhan AUKU perlu kerangka perundangan baharu appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved