Pembangunan atlet diteruskan, SUKSES platform cari bakat baharu - EXCO

14 Nov 2026 • 2:48 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pembangunan atlet diteruskan, SUKSES platform cari bakat baharu - EXCO

SHAH ALAM, 14 NOV: Pembangunan atlet Selangor diteruskan tahun depan menerusi pelbagai program termasuk penganjuran Sukan Selangor (SUKSES), meskipun tiada peruntukan khusus sektor sukan diumumkan dalam Belanjawan Selangor 2027.

EXCO Sukan, Mohd Najwan Halimi berkata tumpuan kini diberikan kepada usaha mengenal pasti dan membangunkan bakat baharu sebagai persediaan menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2028 di Kelantan.

Katanya, SUKSES akan membabitkan penyertaan sembilan daerah bagi membuka peluang kepada lebih ramai atlet berpotensi dikenal pasti dan diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Image from: Pembangunan atlet diteruskan, SUKSES platform cari bakat baharu - EXCO
EXCO Belia Mohd Najwan Halimi bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Pelitup Muka kepada JPN Selangor di lobi bangunan SUK Selangor pada 12 Oktober 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Tidak ada pengumuman khusus melibatkan sukan tetapi memang ada peruntukan untuk program pembangunan di Selangor. Kita tahun ini sudah selesai SUKMA dan tahun depan fokuskan pembangunan atlet.

“Insya-Allah kita akan laksanakan SUKSES bagi mengenal pasti bakat-bakat baharu yang melibatkan sembilan daerah di seluruh Selangor.

“Kita juga akan buat persiapan secara menyeluruh untuk menghadapi SUKMA 2028 di Kelantan nanti,” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kesinambungan pembangunan sukan negeri susulan pembentangan Belanjawan Selangor 2027 oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari semalam.

Image from: Pembangunan atlet diteruskan, SUKSES platform cari bakat baharu - EXCO
Sesi latihan beberapa acara sukan tempur iaitu Silambam, Tinju, Karate, Pencak Silat dan Wushu sebagai persediaan menghadapi SUKMA 2026 di Pusat Kecemerlangan Sukan, Seksyen 6, Shah Alam pada 6 May 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Laptop bantu pembelajaran

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Najwan yang juga EXCO Belia menyifatkan inisiatif baharu Laptop Kita Selangor yang diumumkan dalam Belanjawan Selangor 2027 sebagai langkah membantu golongan muda, khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan, mendapatkan kemudahan pembelajaran.

Katanya, komputer riba kini menjadi keperluan dalam proses pembelajaran di pelbagai peringkat, selain membantu pelajar menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).

Image from: Pembangunan atlet diteruskan, SUKSES platform cari bakat baharu - EXCO
Inisiatif Laptop Kita Selangor diperkenalkan dalam Belanjawan Selangor 2027 bagi membantu golongan muda kurang berkemampuan mendapatkan kemudahan komputer riba untuk pembelajaran. Foto janaan AI

“Pemberian laptop ini perkara menyeluruh yang saya rasa penting sebab kalau lihat sekarang ia digunakan pakai bukan untuk yang bekerja tetapi yang belajar di universiti, kolej dan peringkat menengah.

“Usaha ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan pendidikan sebagai keutamaan dan pada masa sama menyesuaikan, membudayakan teknologi khususnya kecerdasan buatan.

“Pemberian laptop ini juga meringankan beban mereka yang belajar terutama golongan kurang berkemampuan. Kelayakan akan diperincikan nanti tetapi tumpuan kepada kelompok kurang berkemampuan,” katanya.

Inisiatif Laptop Kita Selangor diperkenalkan menerusi Belanjawan Selangor 2027 dengan peruntukan RM16.8 juta bagi menyediakan 8,400 komputer riba kepada golongan muda yang memerlukan, khususnya untuk menyokong keperluan pembelajaran dan meningkatkan akses kepada teknologi digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved