
KUALA TERENGGANU – Seorang pembantu kedai maut selepas motosikal Yamaha Lagenda ditunggangnya merempuh sebuah kereta Toyota Vios yang dikatakan tiba-tiba membelok untuk memasuki simpang di Jalan Pusara, di sini, hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 5.55 petang itu, mangsa, Muhammad Aiman Khairul Anuar, 19, yang berasal dari Kuala Berang, Hulu Terengganu meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, sewaktu kejadian, Muhammad Aiman dikatakan dalam perjalanan ke Gong Kapas dari Jalan Ladang, di sini.
“Sewaktu tiba di lokasi kejadian, motosikal Yamaha Lagenda ditungganginya gagal mengelak lalu merempuh sebuah kereta Toyota Vios yang dikatakan tiba-tiba membelok untuk memasuki persimpangan.
“Peniaga kedai runcit wanita berusia 51 tahun yang memandu kereta Toyota Vious berkenaan dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Alamanda 4 dari Jalan Sungai Rengas di sini,” katanya di sini, hari ini.
Azli berkata, impak rempuhan itu menyebabkan Muhammad Aiman tercampak ke atas jalan.
Beliau berkata, mayat remaja lelaki berkenaan telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini untuk tindakan lanjut.
“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Pembantu kedai maut rempuh Toyota Vios masuk simpang appeared first on Kosmo Online.






