Pembayaran dividen TNB tidak terjejas walaupun perluasan perlindungan bil elektrik - Fadillah

LocalBusiness & Finance
28 Oct 2026 • 9:11 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pembayaran dividen TNB tidak terjejas walaupun perluasan perlindungan bil elektrik - Fadillah Image from: Pembayaran dividen TNB tidak terjejas walaupun perluasan perlindungan bil elektrik - Fadillah sarah28/10/2026 - 09:11 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 28 Okt - Tenaga Nasional Berhad (TNB) kekal berupaya memenuhi komitmen pembayaran dividen kepada pemegang saham meskipun kerajaan memperluaskan perlindungan bil elektrik kepada pengguna domestik sehingga Disember 2026, kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof.

 

Beliau berkata, keupayaan itu dibuktikan melalui pembayaran dividen interim pada Oktober, selain pengurusan kewangan dan aliran tunai berhemat oleh TNB bagi memastikan kemampanan operasinya.

 

Menurutnya, pengumuman mengenai perluasan perlindungan bil elektrik sebelum ini menyebabkan nilai pasaran TNB menyusut sebanyak RM1.63 bilion pada 18 September 2026, apabila harga sahamnya turun daripada RM13.32 kepada RM13.04.

 

"Penurunan harga saham ini berpunca daripada kebimbangan pelabur terhadap tanggungan kos tambahan perlindungan bil, andaian pengurangan pendapatan sekitar 2% hingga 3% bagi tahun 2026, serta ketidakpastian mengenai mekanisme AFA dan kebolehan tuntutan semula kos," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat dasar di Dewan Rakyat.

 

Bagaimanapun, Fadillah berkata, harga saham TNB kemudiannya kembali pulih ke paras sebelum pengumuman tersebut, mencerminkan pemulihan keyakinan pelabur terhadap kedudukan kewangan, keupayaan pengurusan kos dan prospek perniagaan jangka panjang syarikat utiliti itu.

 

Pusat data diwajibkan menggunakan sekurang-kurangnya 30% tenaga boleh baharu

Dalam perkembangan berkaitan, Fadillah berkata, kerajaan telah meluluskan penetapan penggunaan sekurang-kurangnya 30% tenaga boleh baharu (TBB) daripada jumlah kapasiti atau penggunaan tenaga bagi pusat data sebagai sebahagian usaha memastikan pembangunan industri berkenaan lebih mampan.

 

Beliau berkata, setiap permohonan bekalan elektrik untuk pembangunan pusat data perlu melalui penilaian teknikal menyeluruh oleh Energy Focus Group (EFG) yang diurussetiakan Suruhanjaya Tenaga (ST), sebelum dibawa kepada Data Centre Task Force (DCTF) yang diurussetiakan bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Digital.

 

Penilaian itu mengambil kira kecukupan kapasiti penjanaan, kestabilan grid, keupayaan rangkaian penghantaran dan pengagihan elektrik serta keperluan pelaburan infrastruktur bagi memastikan pertambahan permintaan daripada industri pusat data tidak menjejaskan bekalan kepada pengguna lain.

 

Menurut Fadillah, bagi mengelakkan kos tambahan pembangunan pusat data dipindahkan kepada pengguna elektrik lain, industri itu turut digalakkan membangunkan kemudahan penjanaan sendiri menerusi inisiatif Solar for Self-Consumption (SELCO), selain menyertai Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) untuk mendapatkan bekalan tenaga hijau secara langsung.

 

TNB peruntuk RM12 bilion pada 2027 untuk kukuhkan Grid Nasional

Sementara itu, Fadillah berkata, TNB telah diluluskan perbelanjaan modal (CAPEX) sebanyak RM43 bilion di bawah Kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) bagi Tempoh Kawal Selia Keempat (RP4) dari 2025 hingga 2027 untuk memperkukuh Grid Nasional, dengan anggaran pelaburan RM12 bilion akan dilaksanakan pada 2027.

 

Beliau berkata, pelaburan berkenaan penting bagi menyokong pembangunan ekonomi dan peningkatan permintaan tenaga, selain memperkukuh kestabilan serta keterjaminan bekalan elektrik negara dalam jangka panjang.

 

Dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab tenaga serantau, Fadillah berkata, negara kini terlibat secara aktif dalam lebih tujuh projek sambung tara bekalan elektrik yang disenaraikan sebagai projek keutamaan ASEAN Power Grid (APG), dengan memanfaatkan kedudukan geografi strategik, infrastruktur grid serta kerjasama antara TNB, PETRONAS dan entiti tenaga negeri di Sarawak dan Sabah. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved