hamden24/09/2026 - 09:05 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Sept - AgiBot Innovation, syarikat China yang mengkhusus dalam robotik kecerdasan buatan (AI) serba guna, berpotensi melabur sehingga RM1 bilion di Malaysia menjelang 2035, sekali gus berpotensi mewujudkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu antara hasil pertemuan beliau dengan pengurusan kanan AgiBot semasa lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou, China.
Menurut beliau, perbincangan dengan AgiBot turut memberi tumpuan kepada peluang pelaburan dan kerjasama strategik dalam sektor berimpak tinggi, khususnya robotik humanoid dan AI.
Selain AgiBot, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan pengurusan kanan empat syarikat gergasi China lain iaitu ZTE Corporation, Alibaba Group, Geely Automobile Holdings dan Huawei Technologies.
“ZTE Corporation menggariskan inisiatif dan pelaburan bernilai RM170 juta bagi memacu transformasi digital Malaysia, selain mewujudkan lebih banyak peluang kerjaya berkualiti untuk bakat tempatan,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Sementara itu, perbincangan dengan Alibaba Group turut menyentuh usaha memperluas akses pasaran bagi produk Malaysia, khususnya keluaran perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta industri halal, ke pasaran China dan global menerusi ekosistem digital syarikat itu.
Anwar berkata perbincangan bersama kelima-lima syarikat tersebut turut meneroka secara mendalam peluang pelaburan baharu dan kerjasama strategik dalam sektor berimpak tinggi termasuk humanoid, infrastruktur digital, AI, teknologi kenderaan elektrik dan e-dagang.
Beliau berkata kerajaan kekal komited untuk menerajui dan menarik pelaburan berkualiti tinggi, selain memperkasa bakat tempatan serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi bagi memacu kemakmuran ekonomi rakyat dan negara.
China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah AS$113.82 bilion (RM456.68 bilion) bagi tempoh Januari hingga Ogos. - DagangNews.com






