
TAMPARULI: Kira-kira 80 peratus kerja mengeringkan dan membersihkan kawasan yang tercemar akibat air daripada sistem biogas di Kampung Kauluan, di sini, sudah diselesaikan.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Jamawi Jaafar berkata perkembangan itu susulan beberapa langkah penambahbaikan yang diarahkan kepada pihak syarikat termasuk pelantikan jurutera baharu yang bertanggungjawab khusus terhadap aspek alam sekitar dan sistem biogas.
“Saya agak berpuas hati dengan usaha untuk mengeringkan kawasan yang sebelum ini tercemar dengan air daripada biogas.
“Kira-kira 80 peratus sudah selesai dan beberapa langkah yang kita minta juga telah dilaksanakan.
“Pelantikan jurutera baharu itu penting. Dia tidak lagi menjaga ayam tetapi fokus menjaga alam sekitar dan orang kampung. Kalau orang kampung mengadu, dia perlu turun tengok,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan susulan di Kampung Kauluan, pada Rabu.
Jamawi berkata tinjauan susulan akan dilakukan dalam tempoh tiga bulan bagi menilai keberkesanan langkah pembetulan yang dilaksanakan pihak syarikat.
Sepanjang tempoh itu, katanya, kemasukan anak ayam baharu ke ladang berkenaan tidak dibenarkan bagi mengurangkan sementara pengeluaran ayam sekali gus memberi ruang kepada syarikat membersihkan kolam tercemar serta memindahkan lebihan bahan ke kolam baharu.
“Selepas tiga bulan, kita nilai. Kalau semuanya berjalan lancar, syarikat boleh menambah anak ayam baharu.
“Tetapi kalau tidak berjalan lancar, kita akan hentikan lagi dan operasi mungkin tinggal 50 peratus,” katanya.
Menurut Jamawi, kira-kira 60 peratus masalah yang berada dalam bidang kuasa kementeriannya di Kauluan dan kawasan ladang itu dapat diselesaikan hasil tinjauan serta perbincangan hari ini manakala baki 40 peratus membabitkan perkara di luar bidang kuasa kementerian.
Beliau berkata isu pencemaran bunyi dan bau akan dirujuk kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) selain kerjasama dengan jabatan berkaitan bagi memastikan perkara itu ditangani.
“Veterinar sudah selesai jadi kita minta Jabatan Alam Sekitar bantu untuk segala perkara yang lain. Saya akan turut susuli dan pastikan perkara ini bergerak,” katanya.
Dalam pada itu, Jamawi berkata kerajaan turut merancang untuk mengusahakan tanaman jagung di kawasan berkenaan menerusi kerjasama pihak syarikat dan penduduk kampung.
Katanya, hasil jagung berkenaan akan digunakan sebagai makanan ayam di ladang terbabit sekali gus mewujudkan rantaian pengeluaran makanan ternakan yang melibatkan penduduk setempat.
“Jadi ayam Kauluan ini akan menjadi pengguna pertama jagung yang dihasilkan oleh penduduk Kauluan,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu bukan sahaja dapat memanfaatkan tanah, malah berpotensi mengeratkan kerjasama antara penduduk kampung dengan pihak syarikat dalam membangunkan aktiviti pertanian setempat.
Jamawi menegaskan Kerajaan Negeri akan terus memantau semua tindakan pembetulan bagi memastikan isu pencemaran itu ditangani secara menyeluruh serta tidak menjejaskan kesejahteraan penduduk.
Turut hadir Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah Dr Zul Bahar Abdul Rashid, Pemimpin Pembangunan Masyarakat Dun Tamparuli Jefrey Teo dan penduduk kampung serta wakil syarikat perunding yang terlibat dalam usaha menyelesaikan isu berkenaan.



![[VIDEO] Lagi 100km Sulong nak sampai Gua Musang](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/sulong-1024x766.jpeg)


