
GEORGE TOWN - Pertelingkahan antara dua jiran bertukar ganas apabila seorang warga emas berusia 80 tahun dipercayai dipukul menggunakan batang besi dalam satu kejadian di Jalan Perak di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius pada bahagian tangan dan kaki.
Polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira 25 minit kemudian.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan.
Menurutnya, polis turut menahan jiran mangsa yang berusia 62 tahun bagi membantu siasatan.
“Polis juga telah merampas sebatang besi yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu dari rumah suspek,” katanya.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara kedua-dua lelaki berkenaan sehingga tercetusnya pertelingkahan.
“Suspek akan direman esok bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau cara yang berbahaya. - Getaran, 23 Ogos 2025






