![Image from: [VIDEO] Lagi 100km Sulong nak sampai Gua Musang](https://imgproxy.newswav.com/665x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/sulong-1024x766.jpeg)
PETALING JAYA – Perjalanan panjang seekor gajah yang dipercayai Sulong untuk kembali ke habitat asalnya di Gua Musang, Kelantan terus meruntun hati orang ramai apabila haiwan itu dikatakan masih perlu menempuh kira-kira 100 kilometer lagi.
Menerusi perkongsian yang tular di media sosial, Sulong dipercayai sudah berjalan sejauh kira-kira 140 kilometer dari Gerik dan dilaporkan berada di sekitar Jeli, semalam.
Rakaman yang dikongsikan pengguna media sosial turut memaparkan seekor gajah berjalan perlahan di bahu jalan berhampiran kawasan hutan, sementara beberapa kenderaan memperlahankan perjalanan ketika melintasinya.
“Semalam dah sampai Jeli. Dia dah jalan 140km, lagi 100km Sulong nak sampai kampung. Nak seribu daya, tak nak satu dalih pun dah cukup. Teruskan Sulong, penat rehat, lapar makan, dah okay jalan balik kampung elok-elok tau,” tulis seorang pengguna.
Dalam pada itu, keadaan kaki hadapan kanan Sulong turut mencetuskan kebimbangan apabila orang ramai mendakwa terdapat kecederaan yang kelihatan semakin serius.
“Allahuakbar, kaki dia sampai terkeluar kulit. Ya Allah, bantulah Sulong sehingga sampai ke tempat asal dia,” komen seorang pengguna.
Difahamkan, Sulong dikatakan berasal dari Chalil, Gua Musang sebelum ini dipindahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dari Gua Musang ke Gerik, Perak bagi mengelakkan konflik dengan penduduk termasuk gangguan terhadap tanaman.
Bagaimanapun, kemunculan semula gajah yang dipercayai Sulong di beberapa lokasi sepanjang laluan menuju ke Kelantan mencetuskan perhatian ramai, dengan orang ramai kini mengikuti perkembangan perjalanannya untuk kembali ke kawasan asal.
Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi pihak Perhilitan berhubung lokasi terkini gajah berkenaan atau keadaan kecederaan yang didakwa dialaminya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads
The post [VIDEO] Lagi 100km Sulong nak sampai Gua Musang appeared first on Kosmo Digital.



![[VIDEO] Kaki luka, Sulong tetap gigih berjalan pulang](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/WhatsApp-Image-2026-08-25-at-12.19.06-1024x766.jpeg)


