
SHAH ALAM, 19 OKT: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung penularan video di media sosial yang memaparkan perlakuan tidak senonoh terhadap seekor kucing di Pasir Puteh.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh Superintendan Saari Yaacob berkata penahanan suspek dibuat susulan laporan polis yang diterima berhubung kejadian berkenaan semalam.
Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan perlakuan yang dipaparkan dalam video tular itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Saari menegaskan polis memandang serius kejadian berkenaan dan siasatan sedang dijalankan secara menyeluruh.
Katanya, siasatan itu bertujuan mengenal pasti fakta sebenar kejadian selain melengkapkan siasatan mengikut peruntukan undang-undang.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes yang masih dalam siasatan.
Beliau turut meminta masyarakat agar tidak menyebarkan semula rakaman video yang tular di media sosial itu.






