
PETALING JAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menafikan telah mengeluarkan kenyataan bahawa warga Rohingya yang memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) seperti yang dilaporkan.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pelarian yang memiliki kad UNHCR yang sah masih tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Faktanya, pelarian yang memiliki kad UNHCR yang sah masih tertakluk kepada peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan boleh diambil tindakan seperti PATI sekiranya melakukan kesalahan imigresen lain, termasuk bekerja tanpa pas atau permit yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, majikan yang menggaji pelarian pemegang kad UNHCR tanpa kebenaran yang sah juga boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang.
Katanya, pengecualian hanya melibatkan dua kesalahan di bawah Akta Imigresen, iaitu kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah serta kesalahan tinggal lebih masa.
“Pengecualian terhadap kedua-dua kesalahan ini tidak bermaksud pemegang kad UNHCR dikecualikan daripada pematuhan terhadap peruntukan lain di bawah Akta Imigresen,” katanya.
Dalam pada itu, pengurusan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia dilaksanakan berdasarkan dasar kerajaan yang diselaraskan melalui Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Pelarian dan Pemohon Suaka serta Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelarian dan Pemohon Suaka yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut Zakaria, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JIM dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pendaftaran pelarian dan pemohon suaka yang berada di negara ini melalui Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
“Pelaksanaan DPP bertujuan membolehkan Kerajaan mempunyai data yang lebih menyeluruh dan teratur berkaitan keberadaan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, sebarang keputusan berkaitan pengurusan pelarian adalah tertakluk kepada dasar yang ditentukan MKN melalui Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pelarian dan Pemohon Suaka.
“JIM kekal komited melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan imigresen secara tegas dan berlandaskan undang-undang serta dasar Kerajaan yang ditetapkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Pemegang kad UNHCR masih tertakluk Akta Imigresen appeared first on Kosmo Digital.






