Pemergian Tun Dr Siti Hasmah Beri Kesan Mendalam, ‘Hati Saya Hancur’ - Syed Saddiq

LocalPolitics
28 Sep 2026 • 1:21 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Pemergian Tun Dr Siti Hasmah Beri Kesan Mendalam, ‘Hati Saya Hancur’ - Syed Saddiq

KUALA LUMPUR - “Hati saya hancur. Sebahagian daripada diri saya masih enggan percaya bahawa Tun sudah tiada di sini.

“Saya benar-benar masih tidak mampu menghadamnya. Saya sayang Tun. Lebih daripada apa yang dunia ini ketahui,”.

Itu luahan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menerusi perkongsian terbaru beliau, sebaik berita pemergian Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali diketahui ramai. 

Umum mengetahui, mantan Menteri Belia dan Sukan itu adalah antara individu yang amat rapat dengan Allahyarham dan suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Menerusi hantaran di Facebook, Syed Saddiq berkata, pemergian Tun Siti Hasmah amat sukar diterima, terutama selepas pertemuan terakhir mereka yang disifatkannya sebagai kenangan begitu indah.

Namun, dalam kesedihan itu, beliau akur bahawa pemergian Allahyarham adalah ketentuan Allah SWT.

“Tetapi ini adalah kehendak Allah. Kita datang daripada-Nya dan kepada-Nya kita kembali,” katanya.

Syed Saddiq berkata, tiada sebarang petunjuk membayangkan pertemuannya bersama Allahyarhm ketika menghantar kad undangan perkahwinan 11 September lalu adalah yang terakhir.

“Tiada apa-apa pada hari itu yang terasa seperti perpisahan. Kalaulah saya tahu itu pertemuan terakhir kita, saya pasti berharap dua jam itu berlangsung selamanya,” katanya.

Beliau memberitahu, pertemuan berkenaan dipenuhi gelak tawa, gurauan dan perkongsian cerita, selain nasihat mengenai perkahwinan, keluarga serta kehidupan.

“Tun ketawa bersama kami. Bergurau dengan kami. Berkongsi cerita, memberi nasihat tentang perkahwinan, keluarga dan kehidupan,” katanya.

Syed Saddiq turut menyifatkan Dr Siti Hasmah sebagai seorang yang baik hati, lucu, penyayang dan sarat dengan kebijaksanaan, hasil pengalaman hidup, kasih sayang serta pengorbanan sebagai isteri Perdana Menteti selama bertahun-tahun.

“Terima kasih, Tun. Terima kasih kerana memberikan Bella Astillah dan saya satu kenangan terakhir yang begitu indah.

“Terima kasih atas setiap gelak tawa, setiap cerita dan setiap nasihat yang Tun tinggalkan kepada kami,” katanya.

Hantaran yang meruntun hati itu jelas sarat dengan perasaan duka apabila Syed Saddiq berkata, beliau dan Bella tidak berkesempatan memenuhi hasrat Tun untuk hadir ke majlis perkahwinan mereka nanti.

Namun, beliau berjanji untuk menjadikan segala nasihat diberikan Allahyarham sebagai panduan dalam melayari kehidupan berumah tangga.

“Saddiq dan Bella tidak dapat memenuhi hajat Tun untuk hadir ke majlis perkahwinan kami nanti. Tetapi saya berjanji kepada Tun, nasihat Tun akan kami bawa. Kami akan membawanya ke dalam perkahwinan kami, ke dalam rumah kami dan, Insya-Allah, sepanjang hayat kami,” katanya.

Mengakhiri hantaran itu, Syed Saddiq mendoakan agar Allah SWT mengurniakan Tun Siti Hasmah tempat tertinggi di syurga.

“Semoga Allah mengurniakan Tun tempat tertinggi di Jannah. Sehingga kita bertemu lagi, Tun. Al-Fatihah,” katanya. - Getaran, 28 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved