
KLANG – Seorang pekerja syarikat logistik didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, atas pertuduhan merusuh dengan senjata dan mencederakan seorang lelaki di daerah ini, Sabtu lalu.
Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ho Zhen Yang, 26, mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Bapa kepada tiga anak yang berpakaian cerah itu turut mengakui semua fakta kes dikemukakan pihak pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, dia bersama lima lindividu didakwa berada dalam rusuhan dengan memiliki rotan dan kayu baseball sebagai senjata untuk mencederakan Low Zin Jie, 22.
Perbuatan itu dilakukan di Jalan Chan Ah Choo, Pandamaran, Pelabuhan Klang di sini, kira-kira pukul 11.30 malam, 22 Ogos lalu.
Justeru, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Uzzair Rosman memohon hukuman setimpal ke atas tertuduh sebagai pengajaran.
Peguam Nur Husnina Ahmad bagaimanapun merayu hukuman denda minimum dengan mengambil kira faktor anak guamnya menjadi mangsa kejadian dan cedera di bahagian atas mata.
Dalam prosiding sama, lima tertuduh iaitu
Ng Shen Hua, 22; Low Yong Xian, 24; Ng Shen Wei, 25; Tio Ec Tao, 23; dan Lim Aik Wei, 18, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.
Peguam Lavin Thiruchelvam yang mewakili mereka memohon pengurangan kos ikat jamin RM5,000 dan memaklumkan anak guamnya masing-masing bekerja sebagai mekanik dan pekerja sambilan termasuk yang masih bujang.
Mahkamah kemudian membenarkan kos jaminan RM1,500 seorang dan menetapkan sebutan semula kes pada 4 November depan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan dua lelaki cedera selepas dibelasah sekumpulan individu menggunakan kayu termasuk dipercayai batang besbol dalam kejadian rusuhan bersenjata di sebuah kedai makan.
Kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu menyebabkan dua mangsa warga tempatan berusia 22 dan 26 tahun mengalami kecederaan pada muka serta hidung. – KOSMO! ONLINE
The post Pekerja logistik didenda, lima nafi rusuh bersenjata appeared first on Kosmo Digital.






