Pemilik syarikat selenggara jentera didenda RM100,000 benarkan 2 akaun bank terima dana haram RM190,000

16 Nov 2026 • 5:51 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pemilik syarikat selenggara jentera didenda RM100,000 benarkan 2 akaun bank terima dana haram RM190,000 Image from: Pemilik syarikat selenggara jentera didenda RM100,000 benarkan 2 akaun bank terima dana haram RM190,000 amree16/11/2026 - 17:51

KUALA LUMPUR 16 Nov — Tawaran komisen 5% bagi setiap wang dimasukkan ke akaun bank syarikat membawa padah kepada seorang pemilik syarikat penyelenggaraan jentera apabila didenda RM100,000 kerana membenarkan akaun perniagaannya digunakan untuk menerima dana haram berjumlah RM190,000.

 

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Muhammad Ilmami Ahmad menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Kong Chon Tin, 32, selepas tertuduh mengaku bersalah atas tiga pertuduhan pada Isnin.

 

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh supaya menjalani hukuman penjara selama tempoh 36 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

 

Chon Tin didakwa terlibat secara langsung dalam transaksi melibatkan wang RM190,000 milik sebuah bank menerusi penggunaan dua akaun syarikat, SKD Technology & Service dan Akita Machinery & Service, di sebuah cawangan bank di Jalan Klang Lama pada 2 dan 3 November 2025.

 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun, selain denda antara RM10,000 hingga RM150,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

 

Mengikut fakta kes, Chon Tin bersetuju membenarkan seorang individu menggunakan kedua-dua akaun bank syarikat berkenaan untuk menerima wang yang didakwa berpunca daripada aktiviti perjudian haram.

 

Kesalahan Serius Tidak Boleh Dipandang Ringan

Sebagai balasan, tertuduh dijanjikan komisen sebanyak 5% bagi setiap jumlah wang yang dimasukkan ke dalam akaun berkenaan, dengan siasatan mendapati dia menerima serta memudahkan kemasukan dana berjumlah RM190,000.

 

Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana kesalahan menyalahgunakan akaun bank merupakan kesalahan serius yang tidak boleh dipandang ringan.

 

Beliau berkata, kesalahan berkenaan turut melibatkan kepentingan awam, khususnya keyakinan masyarakat sendiri terhadap institusi kewangan dan sistem perbankan negara.

 

Bagaimanapun, peguam bela Lim Yoi Ping memohon hukuman denda dengan mengambil kira tanggungan keluarga anak guamnya, ketiadaan rekod sabitan jenayah terdahulu serta kekesalan tertuduh terhadap perbuatannya.

 

Peguam itu turut memaklumkan bahawa Chon Tin kini bekerja sambilan sebagai penghantar barangan selain menjaga bapanya yang menghidap penyakit jantung dan lumpuh serta memerlukan rawatan susulan di hospital. - BERNAMA

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved