
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Isu hangat mengenai pembinaan flat haram di Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor yang dikaitkan dengan etnik Rohingya pada minggu lalu nyata mendapat perhatian ramai.
Apatah lagi, pendedahan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz yang mendakwa ia berpunca akibat tindakan pemilik tanah yang membenarkan pembinaan struktur tanpa kelulusan sehingga warga asing membina rumah dan tinggal di kawasan terbabit.
Baca Artikel Berkaitan: Flat Haram Di Hulu Langat: Pemilik Tanah Benarkan Pembinaan Tanpa Kelulusan – ADUN Dusun Tua [Video]
Pemilik Tanah Akui Salah & Mohon Maaf, Robohkan Bangunan Atas Tanggungjawab Sendiri
Terbaharu, pemilik tanah yang dijadikan sebagai penempatan pelarian etnik Rohingya memohon maaf berhubung isu kontroversi itu.
“Saya minta maaf, saya tahu (sudah buat) salah sebab itu kami robohkan sendiri,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Jelas lelaki yang berusia lingkungan 70-an itu, kerja merobohkan struktur bangunan kontroversi berkenaan dibuat atas dasar tanggungjawab sendiri.
Pemilik Tanah Mohon Orang Ramai Beri Ruang, Dedah Pemilikan Tanah Bersama Isteri
Walau bagaimanapun, dia enggan mengulas lanjut berhubung isu berkenaan dan meminta orang ramai memberi ruang kepada pihaknya untuk menguruskan perkara terbabit.
Jelas pemilik tanah itu, kerja-kerja perobohan itu diuruskan oleh anaknya. Malah, mereka sebelum ini telah memohon maaf berhubung perkara terbabit.
Kerja Perobohan Ambil Masa 3 Minggu, Semua Diuruskan Oleh Anak Pemilik
“Kerja merobohkan struktur itu akan mengambil masa kira-kira tiga minggu dan sekarang kerja masih dijalankan. Semua anak yang uruskan, saya datang ini untuk memantau kerja saja,” jelasnya.
Kongsi warga emas itu, tanah tersebut dimiliknya bersama isteri.
Malah, dia turut memberi jaminan bahawa sisa struktur terbabit yang dirobohkan akan dibuang di lokasi sepatutnya seperti yang diselaraskan oleh pihak berkuasa tempatan.
Anak Pernah Beri Penjelasan, Dakwa Keluarga Dalam Keadaan Tertekan
Memetik Sinar Harian, anak perempuan kepada pemilik tanah tersebut sebelum ini telah tampil memberi penjelasan dan sering turun ke lokasi bagi menguruskan kerja-kerja perobohan.
“Sejak isu berkenaan tular di media sosial dan mendapat liputan meluas, saya kerap turun ke lokasi bagi menguruskan pelbagai perkara yang berbangkit selain memastikan semua arahan pihak berkuasa dipatuhi.
“Saya mohon semua pihak supaya tidak menyebarkan perkara yang tidak benar atau menokok tambah cerita sehingga mengelirukan masyarakat,” katanya.
Malah dakwa wanita itu lagi, keluarganya itu berada dalam keadaan tertekan ekoran dakwaan serta komen negatif yang tersebar di media sosial hingga ada yang disifatkan sebagai tidak berasas.
“Ahli keluarga saya sangat tertekan. Banyak cerita yang tidak benar disebarkan sehingga menjejaskan nama baik kami.
“Kami menerima pelbagai kecaman walaupun pada masa ini kami sedang berusaha menyelesaikan perkara ini mengikut segala panduan dan arahan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
Mohon Tidak Salahkan Mana-Mana Agensi Kerajaan
Pada masa yang sama, wanita berkenaan memohon agar orang ramai tidak menyalahkan mana-mana agensi kerajaan.
Ini kerana jelasnya, pihak berkuasa telah menjalankan tanggungjawab dengan baik.
“Kerajaan dan agensi berkaitan memang menjalankan tugas mereka. Pemeriksaan dan operasi sentiasa dibuat dari semasa ke semasa.
“Jadi jangan salahkan mana-mana pihak. Mereka telah melaksanakan tanggungjawab mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya lagi.
Kos Roboh Flat Haram Di Hulu Langat RM600,000 – MP Hulu Langat
Terdahulu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan mendedahkan sebanyak RM600,000 diperlukan untuk merobohkan bangunan kontroversi empat tingkat itu.
Jelas Mohd Sany, kertas kerja perobohan struktur berkenaan telah dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) dan kini sedang menunggu peruntukan daripada kerajaan negeri.
Walau bagaimanapun, pada 13 Jun lalu, Johan menjelaskan kerja perobohan struktur bangunan tersebut dilaksanakan sendiri oleh pemilik tanah berkenaan.
Baca Artikel Berkaitan: MPKj Sahkan Flat Haram Di Hulu Langat Tiada Kelulusan, Sudah Keluarkan Notis
Baca Artikel Berkaitan: Flat Haram Di Hulu Langat Akan Dirobohkan Mengikut Undang-Undang – PDT Hulu Langat






