Kanak-kanak 7 tahun maut: Polis rakam percakapan empat saksi

LocalFamily & Parenting
24 Oct 2026 • 9:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kanak-kanak 7 tahun maut: Polis rakam percakapan empat saksi
Polis sudah merakam percakapan empat saksi yang menyaksikan kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemui maut di sebuah flat.

JOHOR BAHRU – Polis sudah merakam percakapan empat saksi yang menyaksikan kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun ditemui maut di sebuah flat di Taman Perling di sini, pada Jumaat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, laporan berhubung kejadian diterima pada kira-kira jam 5.30 petang.

“Mangsa ditemukan penduduk setempat dalam keadaan terbaring di atas tanah di bawah bangunan flat berkenaan.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang bermain kejar-kejar bersama beberapa orang kanak-kanak lain di kawasan koridor tingkat 10 flat berkenaan sebelum menggunakan sebuah basikal untuk memanjat tembok koridor lalu terjunam dari tingkat tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut Azrol Anuar, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, tangan dan badan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru yang tiba di lokasi kejadian.

Katanya, bedah siasat yang dijalankan pada jam 11 pagi Sabtu mengesahkan punca kematian adalah akibat kecederaan berganda disebabkan terjunam dari tempat tinggi.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, Azrol Anuar menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa mengawasi pergerakan serta aktiviti anak-anak dan memastikan mereka tidak memanjat atau bermain berhampiran tingkap, balkoni, koridor atau kawasan berisiko tinggi.

Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara menerusi talian 07-5563122 bagi membantu siasatan.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved