
HULU TERENGGANU: Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah motosikal lain sebelum dilanggar sebuah kereta di Kilometer 406.4 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Ajil-Telemong, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu, Mohd. Yusri Rusdi, 38, yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ tercampak ke kawasan longkang di sebelah kiri lebuh raya selepas dilanggar sebuah Honda HR-V yang datang dari arah belakang.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, kemalangan itu membabitkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah kereta Honda HR-V dan dua motosikal jenis Yamaha RXZ.
“Ketiga-tiga kenderaan terbabit dipercayai dalam perjalanan dari arah Ajil menghala ke Telemong selepas pulang dari Cherating, Pahang menuju ke Kuala Terengganu. Siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa bergesel dengan sebuah lagi motosikal sebelum kedua-duanya terjatuh di atas jalan raya.
“Kereta yang datang dari arah belakang kemudian melanggar mangsa yang terjatuh di lorong kanan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, penunggang sebuah lagi motosikal, Eiri Aizul M. Safri, 34, mengalami patah tangan kanan serta luka-luka pada badan dan dihantar ke wad kecemasan Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan.
“Pemandu Honda HR-V, Muhammad Azizi Syafiq Othman, 25, dan penumpangnya, Muhammad Afham Syaqyrin Mohd Afrizu, 23, tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN
The post Penunggang RXZ maut motosikal bergesel, dilanggar kereta di LPT2 appeared first on Utusan Malaysia.






