
Pemuda MCA membuat laporan polis berhubung dakwaan ugutan bunuh dan ancaman terhadap nyawa seorang pempengaruh tempatan, Zarif Syarafuddin, yang dipercayai berkait dengan pendedahan mengenai kewujudan penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) di sekitar Puchong dan Selangor.
Dalam satu kenyataan, Pemuda MCA berkata ancaman berkenaan dipercayai dibuat oleh beberapa individu yang didakwa warga asing dan menegaskan perkara itu perlu dipandang serius kerana membabitkan keselamatan seorang rakyat Malaysia.
Menurutnya, Zarif sebelum ini didakwa mendedahkan kewujudan penempatan PATI termasuk kebanjiran pelarian Rohingya serta aktiviti yang dianggap mencurigakan di sekitar Puchong dan Selangor.
Pemuda MCA menyifatkan ugutan terbuka berkenaan bukan sekadar bentuk intimidasi, sebaliknya boleh menjadi kesalahan jenayah yang mengancam keselamatan individu selain menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk setempat dan warga maya.
Sehubungan itu, Pemuda MCA Kebangsaan berkata laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bagi menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh dan segera.
Baca juga:
KPM diminta beri perhatian cabaran guru Pulau Bum Bum- Pemuda MCA lapor polis dakwaan ancaman terhadap pempengaruh Zarif
Tun M kecam Netanyahu, sifatkan penolakan negara Palestin sebagai tidak mengenang budi
Mereka turut menggesa polis menyiasat dakwaan ugutan berkenaan mengikut peruntukan undang-undang yang berkaitan, antaranya Seksyen 506 Kanun Keseksaan berhubung ugutan jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sekiranya ancaman dibuat melalui rangkaian komunikasi.
Selain itu, Pemuda MCA meminta status imigresen individu yang didakwa terlibat disemak dan tindakan sewajarnya diambil di bawah Akta Imigresen 1959/63, sekiranya didapati berkaitan.
Langkah keselamatan
Pihak berkenaan turut menggesa langkah keselamatan sewajarnya diambil bagi memastikan keselamatan Zarif serta tindakan tegas mengikut undang-undang dikenakan terhadap mana-mana pihak yang terbabit sekiranya kesalahan dapat dibuktikan.
Pemuda MCA menegaskan setiap rakyat Malaysia berhak menyuarakan isu berkepentingan awam tanpa berdepan ancaman atau rasa takut, selain berharap kerajaan dan pihak berkuasa menunjukkan ketegasan terhadap sebarang bentuk ugutan jenayah.
Dalam pada itu, Pemuda MCA turut meminta kerajaan memberi perhatian terhadap isu yang dibangkitkan aktivis masyarakat termasuk Zarif dan pempengaruh yang dikenali sebagai Awie mbr atau Abang Koroy, khususnya berkaitan kebanjiran pelarian Rohingya dan PATI.
Pemuda MCA berkata kerajaan perlu mengambil tindakan segera berkaitan isu tersebut serta mengutamakan kepentingan dan keselamatan rakyat Malaysia.
The post Pemuda MCA lapor polis dakwaan ancaman terhadap pempengaruh Zarif appeared first on The Reporter.






